Terdiri daripada lapan orang ahli, mereka menggerakkan kumpulan yang dinamakan Allinol Oil di bawah aktiviti keusahawanan sosial yang dikendalikan oleh Encatus USIM. Kumpulan yang mula ditubuhkan pada 2013 ini telah mengambil inisiatif dengan menjalankan aktiviti pengumpulan minyak masak terpakai oleh pengguna dari sekitar Nilai, Negeri Sembilan.

Jurucakap Allinol Oil, Liyana Rosman berkata, melalui pemerhatian pihaknya, kebanyakan minyak masak terpakai dibuang secara salah seperti dituang sahaja ke dalam sinki. Malahan tidak dinafikan juga segelintir peniaga yang menggunakan minyak masak yang banyak untuk menggoreng makanan akan menggunakannya berulang kali atas alasan menjimatkan modal sedangkan langkah itu tidak baik untuk kesihatan. 

USIM-siswa
USIM-siswa

“Melihat kepada permasalahan ini, kami datangkan solusi yang sesuai menggunakan pendekatan keusahawan sosial. Keusahawanan sosial ini konsepnya kita membantu menyelesaikan isu yang berbangkit di kawasan sekitar dengan pelbagai inisiatif sesuai.

"Minyak masak terpakai sebenarnya boleh dikitar semula menjadi minyak biodiesel, sabun dan lilin. Pada masa ini, minyak masak yang dikumpul akan dihantar ke sebuah syarikat yang bekerjasama dengan mereka iaitu UNI10 Energy untuk diproses menjadi biodiesel.

"Pada masa yang sama, kita dapat menjana pendapatan secara tidak langsung. Melalui ahli kumpulan dapat mengasah kemahiran insaniah, komunikasi dan menyantuni masyarakat,” ujarnya.

Menurut siswi Sarjana Muda Quran dan Multimedia, Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah ini, melalui usaha mereka, masyarakat secara tidak langsung mula dididik bahawa bukan sahaja kertas, kaca dan plastik sahaja boleh dikitar semula.

Projek yang dicetuskan oleh Allinol Oil ini telah membantu dalam mengatasi masalah pembuangan minyak masak terpakai yang kerap berlaku sebelum ini.

Allinol Oil mempunyai perancangan untuk menyediakan satu pusat khas pengumpulan minyak masak terpakai yang dinamakan sebagai Oil House atau Rumah Minyak berdekatan Kompleks Sukan Tunku Najihah USIM. Lokasinya yang strategik akan memudahkan warga USIM dan masyarakat Nilai untuk menghantar minyak masak terpakai ke situ.

Menurut ahli kumpulan ini, proses pengumpulan minyak masak terpakai di premis atau kediaman dibuat apabila terdapat permintaan sahaja kerana mereka memfokuskan pengumpulan dari premis di dalam kampus.

Projek keusahawanan sosial mereka ini memberi impak yang besar dalam membantu masyarakat menjaga kesihatan mereka, pada masa yang sama, melestarikan alam sekitar apabila dapat mengawal pencemaran akibat pembuangan sisa minyak masak terpakai secara tidak terurus sebelum ini.

Sebarang pertanyaan boleh berhubung dengan Allinol Oil di talian 013-4495369 atau 019-9131656. Semoga usaha murni kumpulan siswa USIM ini menjadi contoh kepada rakan-rakan siswa institusi pengajian tinggi (IPT) yang lain.