Bertemakan, Kembara Peers, Sebarkan Positif, misi ini lebih memfokuskan program berbentuk motivasi dan pembelajaran dengan mengadakan pelbagai aktiviti yang boleh membina keyakinan yang tinggi terutamanya kepada pelajar sekolah. 

Selain itu, program ini juga bertujuan memberi ruang untuk peserta lebih mengenali budaya dan melihat sendiri adat dan cara masyarakat Thailand yang terkenal dengan kelembutan dalam berkomunikasi.

Pengarah program, Mohammad Adib Al Hafiz Nasir berkata, misi selama tujuh hari itu sangat bermakna dan menyifatkan GISO adalah salah satu program yang sangat bermanfaat serta berkesan untuk memberi pendedahan kepada pelajar menerokai ilmu baharu.

“Melalui GISO, pelbagai aktiviti dan pengisian dapat diadakan bersama pelajar dan masyarakat Islam sepanjang berada di bumi Hatyai, antaranya Bengkel Bicara Braille yang memberi tunjuk ajar kepada pelajar Maahad Fiqhul Islam memahami asas tulisan Braille dan membaca al-Quran untuk memudahkan proses belajar bagi orang kurang upaya (OKU). 

“Kami turut mengadakan aktiviti terapi seni dengan menerapkan kesedaran kesihatan mental melalui lukisan dan warna mengikut apa sahaja yang digambarkan bertujuan membantu mereka terutamanya pelajar sekolah meluahkan emosi,” katanya.

Tambah Mohamad Adib, program itu diteruskan dengan proses penanaman semula tumbuhan yang berwarna hijau di sekitar sekolah terpilih dengan melibatkan masyarakat sekitar. 

“Ini bertujuan memberi ketenangan dan  memupuk sikap positif kepada pelajar dalam menuntut ilmu,” katanya.

Menurut beliau, setiap aktiviti yang dilakukan semuanya diselitkan dengan kaedah asas psikologi dan kaunseling kepada para pelajar dan masyarakat yang menjadi ciri istimewa Kelab Pembimbing Rakan Universiti.