Program yang kali pertama diadakan oleh MSDeaf ini bertujuan mengetengahkan bakat-bakat baru yang ada di Malaysia yang rata-ratanya masih tidak tahu hala tuju mereka dalam bidang sukan khususnya badminton.

Setiausaha Agung MSDeaf, Ong Shin Ruenn menjelaskan melalui program ini peserta terlibat telah didedahkan dengan struktur sukan dari peringkat nasional hinggalah antarabangsa yang sekali gus membuka mata dan minda mereka tentang masa depan sukan orang pekak di Malaysia.

"Untuk Kejohanan Badminton Orang Pekak Asia Pasifik Kali Kelima yang akan dianjurkan di Kuala Lumpur pada November depan, Malaysia masih ketandusan atlet pekak bagi mengisi tempat dalam kategori junior. 

"Justeru kita berharap menerusi program ini akan memberi ruang dan peluang kepada kita mencungkil bakat baharu yang berpotensi untuk diketengahkan mewakili negara di kejohanan itu kelak," katanya.

Sementara itu, Ketua Unit Pembangunan Sukan Badminton Orang Pekak MSDeaf, Artika Suraya Ayub mengucapkan terima kasih kepada Majlis Sukan Negara kerana telah menyediakan tempat latihan dan penginapan untuk  peserta Kem Pencarian Bakat Atlet Pekak ini. 

Pekak-badminton
PARA peserta Kem Pencarian Bakat Pemain Pekak Badminton anjuran MSDeaf memanaskan badan sebelum memulakan latihan.

Beliau turut berharap selepas ini akan ada lebih banyak pihak yang tampil membantu MSDeaf mengasah bakat atlet-atlet pekak khususnya dalam sukan badminton, memandangkan generasi baharu merupakan aset negara yang perlu dididik dan diberi perhatian untuk kecemerlangan sukan pada masa akan datang.

Kesemua peserta program menerima sijil penyertaan yang disampaikan oleh Presiden MSDeaf, Kamarzaman Harun.

Sesiapa yang berhasrat memberi tajaan dan sokongan bolehlah menghubungi Pegawai Komunikasi MSDeaf, Fifi Audrey di talian 012-6985110 atau emel kepada [email protected]