Penganjuran Himpunan Mega Inter Kolej (HMI) USIM 2018 ini diterajui oleh Kolej Kediaman Satu dengan kerjasama padu Pusat Perumahan Pelajar dan Jawatankuasa Kebajikan Siswa Siswi Asrama (JAKSA).

Selain penghuni Kolej Kediaman Satu, penghuni kolej kediaman lain yang terlibat adalah Kolej Kediaman Nilam Court, Kolej Kediaman Sutera Indah dan Kolej Kediaman Acacia Avenue. Sekitar 6000 penghuni kolej kediaman hadir memeriahkan acara itu. Turut terlibat penghuni Kolej Kediaman Pandan dan Campus Student Secretariat (OCSS) atau Sekretariat Pelajar Luar Kampus.

HMI 2018 adalah penjenamaan semula daripada Malam Perdana Siswa (MPS) yang juga acara tahunan bagi setiap Kolej Kediaman USIM yang dibuat berasingan oleh setiap kolej kediaman.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Datuk Dr. Hassan Basri Awang Mat Dahan berkata, matlamat penganjuran himpunan ini adalah untuk menghimpunkan penghuni kolej kediaman dan pelajar luar kampus  bagi mengeratkan ukhuwah yang terjalin di antara penghuni, pengurus kolej kediaman dan kakitangan tertinggi universiti.

"Di samping itu, himpunan ini juga bertujuan untuk memberi anugerah penghargaan terhadap kejayaan para graduan USIM yang menetap di kolej kediaman USIM dan pelajar tinggal luar kampus,” ujarnya.

Majlis perasmian HMI 2018 telah disempurnakan oleh Naib Canselor, Profesor Datuk Dr. Musa Ahmad. Naib Canselor dalam ucapan perasmiannya memuji komitmen baik semua pihak yang terlibat merealisasikan HMI yang pelaksanaannya dari segi logistik bukan mudah kerana melibatkan hadirin yang ramai. 

HMI-USIM
PROFESOR DATUK DR. MUSA AHMAD merasmikan Himpunan Mega Inter Kolej (HMI) USIM 2018 di Dewan Tunku Canselor universiti itu di Nilai, baru-baru ini. 

“Sebuah organisasi itu mampu menjadi terbilang dan cemerlang jika warganya mengamalkan sifat kebersamaan dan muafakat dalam mencapai aspirasi atau agenda yang telah dirancang. Begitu juga USIM, sejajar dengan hasrat Kampus USIM, Kampus Barakah menjelang tahun 2035, warga USIM meliputi kakitangan akademik dan pentadbiran serta pelajar adalah game changer atau agen perubah bagi memastikan matlamat itu tercapai,” ujarnya.

Selain menikmati pelbagai jenis menu yang disediakan, para penghuni kolej kediaman yang hadir turut dihiburkan dengan pelbagai persembahan menarik seperti nasyid, pantomin, syair, tayangan video dan kumpulan muzik.

Di samping itu, acara kemuncak HMI ini adalah untuk memberi anugerah penghargaan terhadap para siswa-siswi USIM yang menetap di kolej kediaman atau tinggal di luar kampus. Sebanyak 36 orang telah dipilih menerima anugerah masing-masing dan antara anugerah yang disampaikan ialah Anugerah Kepimpinan, Anugerah Akademik Cemerlang, Anugerah Khidmat Budaya, Anugerah Aktif Sukan dan Anugerah Khidmat Bakti.

Turut hadir menyerikan majlis, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa). Profesor Datuk Dr. Zulkiple Abdul Ghani; Pengarah Pusat Perumahan Pelajar, Ahmad Kamal Mustafa; pengetua dan felo kolej kediaman; kakitangan pentadbiran serta wakil komuniti sekitar USIM.