Gotong-royong perdana itu dianjurkan oleh Majlis Profesor Negara (MPN) dan Universiti Malaysia Kelantan (UMK) bersama-sama pelajar Institut Pendidikan Guru (IPG), politeknik dan kolej vokasional di negeri ini. 
Turut serta dalam program yang julung-julung kali diadakan itu ialah 40 orang profesor.
Aktiviti itu yang melibatkan kerja-kerja membersihkan pantai daripada sampah-sarap menjadi permulaan kepada Program Kelestarian Alam Semulajadi yang bermatlamat untuk menerapkan budaya menjaga kebersihan secara lestari dalam kalangan rakyat negeri ini khususnya pengunjung destinasi pelancongan seperti Pantai Senok.
Upacara perasmian disempurnakan Timbalan Presiden MPN, Prof. Kamarudin Said dan Timbalan Naib Canselor UMK, Prof. Datuk Ibrahim Che Omar.  
Selepas ini, sukarelawan yang digerakkan oleh UMK akan memastikan budaya kebersihan diamalkan oleh pengguna pantai melalui pemasangan poster dan penyediaan tong sampah serta pengurusan sampah berjadual. 
Sesi ceramah juga akan diadakan untuk mendidik dan memberi kesedaran tentang pentingnya amalan menjaga kebersihan dalam kehidupan seharian dan terhadap persekitaran.
Penganjur berharap dengan memastikan kebersihan pantai yang semulajadi cantik, lebih ramai pelancong dalam dan luar negeri mengunjungi Pantai Senok dan sekali gus memberikan impak ekonomi kepada penduduk tempatan.