Presiden Kebangsaan Gepima, Syed Osman Mohamed berkata, kali ini sebanyak 200 fakir miskin dari sekitar Lembah Klang, 60 orang kurang upaya (OKU) yang terdiri daripada anggota polis, tentera dan unit beruniform lain serta 60 anak yatim dari rumah anak yatim Gombak dan Puchong mendapat manfaat daripada majlis itu.

"Sumbangan wang tunai, barang keperluan harian dan beras 10 kilogram disampaikan kepada para penerima dengan harapan dapat membantu mereka membuat persiapan menghadapi Hari Raya Aidilfitri yang akan menjelma tidak lama lagi, sekali gus menceriakan sambutan lebaran mereka," katanya kepada Utusan Online. 

Majlis Iftar Perdana Gepima 1439 Hijrah yang dihadiri seramai 800 orang itu dirasmikan oleh Setiausaha Agung Majlis Belia Malaysia (MBM), Ahmad Saparuddin Yusup yang mewakili Presiden MBM, Mua’mar Ghadafi Jamal.

Program tahunan Gepima itu turut mendapat kerjasama daripada Kementerian Belia dan Sukan, Jakim, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan dan Selangor, DBKL, Bernas dan para penaja korporat antaranya Yayasan Ubadi, Ehsan Group, Agate Group, Malik Stream Corporations, Qualitas Medical Group, SAA Resourcesm Pivotal Infotech, Yayasan Pendidikan Islam, Yakin, ILBS, IMS Book Trading dan dermawan lain. 

"Dalam program yang sudah kali ke-19 dianjurkan ini kita sedaya-upaya mahu menggalakkan belia agar terlibat dalam kerja-kerja amal dan kebajikan supaya mereka bersifat cakna terhadap golongan yang memerlukan perhatian dan bantuan.

"Niat kita ikhlas untuk mencari pahala berganda pada 10 Ramadan terakhir, mudah-mudahan semua yang terlibat dalam majlis ini daripada para penyumbang bantuan, sukarelawan dan petugas belia dan khususnya Gepima akan mendapat keredaan-Nya," tambah Syed Osman.