Pemahaman mudah kepada intipati pantun ini ialah bagaimana budi itu bukan sesuatu yang boleh dinilaikan hatta pada barang  yang beharga kepada manusia seperti emas atau wang ringgit.

Budi itu nilai dan darjatnya lebih tinggi dari segala harta kekayaan hinggakan seseorang individu yang 'menerima' budi baik dari seseorang akan terus 'berhutang' budi tersebut sehingga ke hujung nyawanya. Lebih mulia dari itu, budi baik yang dihulurkan akan terus dikenang, diingati dan dihargai walaupun insan yang menghulurkan budi tersebut juga telah tiada lagi di dunia ini.

Mengapa budi ini begitu tinggi nilai hingga memberi kesan yang besar kepada yang memberi dan yang menerimanya? Menurut Kamus Dewan Bahasa Edisi Keempat terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka mentakrifkan budi ini adalah sifat baik, perbuatan baik dan kebajikan. Ia berkait secara langsung dengan akal, kebijaksanaan dan tingkah laku yang berakhlak mulia.

Budi adalah suatu perbuatan yang meletakkan keikhlasan, rasa ingin membantu, prihatin dan kasih-sayang sesama insan yang menggerakkan diri kita untuk membantu insan lain. Membantu seorang buta melintas jalan adalah budi, mendermakan organ menyelamatkan nyawa orang lain juga adalah budi malahan memelihara anak yatim dan miskin juga adalah budi. Apa yang ingin penulis tekankan di sini, budi itu tidak diukur pada perbuatan yang besar semata-mata, perbuatan yang kecil juga tetap dikira sebagai budi.

Di dalam Islam, membuat kebaikan itu sesuatu yang amat dituntut, ditekankan dan diberi ganjaran pahala yang besar kepada pelakunya. Salah satu daripada hadis Rasulullah SAW yang diriwatkan oleh Imam Muslim menyentuh pada hari hari akhirat kelak terdapat tujuh pihak yang diberi naungan oleh Allah SWT yang mana pada hari itu tidak ada naungan kecuali naungan-Nya. Dari tujuh pihak tersebut, Rasulullah SAW menyebutkan bahawa siapa saja yang bersedekah secara sembunyi-sembunyi ibarat tangan kiri tak mengetahui apa yang dilakukan tangan kanan, maka dia termasuk salah-satu di dalamnya.

Berbudi ini juga tiada musim dan tiada tempoh luputnya malahan ia jugak bersifat sarwajagat kerana ia tidak dibatasi pada perbezaan agama dan kepercayaan, bangsa dan warna kulit, sempadan negara mahupun hanya kepada manusiawi semata-mata. Selagi punya masa dan kemampuan untuk berbudi, selagi itu kita menghulurkan budi pada yang memerlukannya. Imam Ahmad meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud "Sekiranya hari kiamat hendak terjadi, sedangkan di tangan salah seorang diantara kalian ada biji kurma maka apabila dia mampu menanam sebelum terjadi kiamat maka hendaklah dia menanamnya".

Malahan Allah SWT turut berfirman di dalam Al-Quran yang bermaksud: "Sesiapa yang mengerjakan kebaikan walau sebesar zarah, nescaya dia akan melihat (balasan)nya. Dan sesiapa yang mengerjakan kejahatan walau sebesar zarah, nescaya dia akan melihat (balasan)nya pula". (Surah al-Zalzalah 99:7-8)

Dalam konteks kekeluargaan, budi kedua orang tua membesarkan kita dengan penuh kasih-sayang, ibarat menatang minyak yang penuh tidak mampu kita balas. Atas sebab itu penulis cukup tersentuh hati, kecewa dah marah apabila melihat ada anak-anak yang sanggup mengabaikan orang tua mereka apabila sudah selesa dan berjaya dalam kehidupan.

Melihat kepada konteks keilmuan, jangan kita lupa pada insan yang mengajar dan mendidik kita dengan penuh sabar serta penuh kesungguhan. Kita mengenali mereka sebagai guru di sekolah dan pensyarah apabila di universiti. Insan yang ibarat dian membakar diri ini amat besar budinya pada kita kerana ilmu yang 'diperturunkan' itulah yang memberi manfaat besar pada kita. Budi para anggota keselamatan seperti tentera dan polis amat besar dan tak terhitung. Mereka meletakkan nyawa sebagai gadaian apabila bertugas demi memastikan kedaulatan dan keamanan negara sentiasa terpelihara.

Negara juga telah melalui pilihanraya umum yang bersejarah pada Mei lalu yang mencetus kepada gelombang Malaysia Baharu. Pertukaran kerajaan adalah lumrah pada sebuah negara yang menjulang demokrasi dan mengangkat martabat suara rakyatnya. Tetapi ia tidak seharusnya menidakkan bahawa kerajaan dan pimpinan terdahulu turut berbudi besar pada negara ini. Jangan kita terlalu ghairah menghina dan mencerca orang di bawah apabila kita berada di atas kerana orang tua selalu memperingatkan ‘Hidup ini umpama roda, sekejap kita di atas dan sekejap kita di bawah’.

Marilah kita bersama-sama membulatkan rasa dan menyimpan tekad untuk menjadi insan yang memberi lebih manfaat kepada agama, bangsa dan negara. Yakinilah apabila sudah banyak menabur budi, hidup akan lebih dirahmati dan di akhirat kelak menuai berkatnya. “Harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama”

 

PENULIS ialah Pegawai Tadbir di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) serta Exco Persatuan Pegawai Tadbir dan Ikhtisas (PRAGMATIS) USIM.