Ujar Presiden MBM, Muamar Ghadafi Jamal Jamaluddin, penerimaan e-Paper itu bukan sahaja membolehkan belia mendapatkan sumber bertulis yang dipercayai malah turut menerima peluang untuk berkongsi pendapat.

"Melalui segmen Malaysia Kita yang disusun atur oleh pihak Utusan Malaysia, saya berpendapat ia amat bagus dalam memberi ruang kepada generasi belia di negara ini dalam mengemukakan pandangan masing-masing.

"Tambahan pula, pendapat mereka itu dapat dibaca orang ramai selalu gus ia memberi tambah nilai kepada belia untuk mencapai tahap professional dalam bidang penulisan," katanya kepada Utusan Online.

Muamar berkata demikian dalam satu majlis penyerahan akaun e-Paper Utusan Malaysia di IOI Palm Resort, Putrajaya, hari ini.

Turut hadir, Pengarang Utusan Malaysia, Datuk Zulkifli Hamzah.

Dalam pada itu, Ketua Penerangan MBM, Mohammad Rizan Hassan berkata, segmen Malaysia Kita boleh memberi pelbagai impak yang positif.

"Lebih-lebih lagi generasi hari ini mempunyai pelbagai idea yang tersendiri dan sekiranya ia baik untuk perkembangan belia khususnya, tidak salah jika ia mendapat sokongan daripada pembaca melalui medium baharu.

"Mereka berhak mendapat peluang untuk bersuara dalam hal-hal yang tertentu dan pendekatan yang dilakukan oleh pihak Utusan Malaysia sesuatu yang wajar dipuji," katanya.

Sementara itu, wakil Briged Puteri Malaysia, Tamie Chan begitu teruja untuk berkongsi ceritanya melalui medium Malaysia Kita.

"Saya percaya dengan adanya ruang penulisan sedemikian, pelbagai input dan perkongsian daripada lebih banyak sumber akan memberi banyak manfaat kepada belia untuk memperkukuhkan pengetahuan diri.

"Lagi pun sebagai rakyat Malaysia, budaya membaca dan menulis tentang sesuatu yang bernas perlu sentiasa diamalkan bagi menaikkan imej belia di pelbagai peringkat. - UTUSAN ONLINE