Menonton video itu sahaja sudah membuatkan jalan cerita filem Ali Setan yang mula ditayangkan di pawagam pada 16 Februari 1985 itu kembali berputar ligat di fikiran penulis. Filem komedi romantik yang diterajui watak utama Allahyarham Azmil Mustapha selaku Ali dan Fauziah Dato’ Ahmad Daud sebagai Asmidar mencetuskan fenomena tersendiri di zaman itu.

Filem komedi romantik hasil sentuhan pengarah terkenal, Allahyarham Tan Sri Jins Samsudin itu mengangkat tema kisah kenakalan Ali selaku seorang mahasiswa senior di universiti yang sering mengusik para pelajar lain terutamanya Asmidar yang kerap menjadi mangsanya. Akhirnya dari benci memutikkan perasaan cinta dan selebihnya para pembaca sudah sedia tahu apa kesudahannya. Filem Ali Setan tidak dapat dinafikan memberi gambaran bagaimana kehidupan di kampus berjalan seperti suasana semasa pendaftaran pelajar baharu, dewan kuliah selesa serta jauh bezanya dengan saiz kelas di sekolah, dewan konvokesyen yang gah, siswa-siswi ke kuliah tanpa perlu berpakaian uniform seragam serta pelbagai kemudahan yang terdapat di kampus yang luas kawasannya.

Semua itu amat mengujakan dan membangkitkan motivasi para pelajar sekolah khususnya remaja untuk belajar bersungguh-sungguh untuk masuk ke universiti. Pendekatan menonjolkan gaya hidup di kampus dan pelbagai kemudahan yang terdapat di dalamnya masih digunakan sehingga kini sebagai salah satu bentuk promosi untuk menarik pelajar melanjutkan pengajian di institusi masing-masing. Tetapi kita harus berpijak di bumi nyata, kehidupan di kampus bukan hanya seperti yang terpapar dalam Ali Setan semata-mata.

Pada sudut pandang lain, alam kampus juga tidak terbatas dengan menghadiri kuliah, menyiapkan tugasan diberikan pensyarah, mengulangkaji pelajaran dan menduduki peperiksaan disetiap akhir semester. Sekiranya mahasiswa hanya menuruti kitaran ini sehingga tamat pengajian, ia adalah sesuatu yang amat merugikan pada pandangan penulis. Menikmati alam kampus dalam konteks menimba pengalaman diluar bilik kuliah bukanlah bermaksud mahasiswa perlu menjadi ‘setan’ seperti Ali sehingga memperjudikan ijazah yang ingin digenggam kelak.

Alam kampus itu mengenai cabaran berdikari dan merebut sebanyak mana peluang yang telah sedia terbentang luas. Siswa harus mengawal diri agar tidak terleka, lalai dan berasa terlalu selesa kerana apabila memasuki alam universiti kerana terpikul di jemala mereka adalah harapan keluarga dan cita-cita yang besar.

Bagi memilih jalan yang betul di alam kampus, mahasiswa perlu berdamping dengan insan-insan yang tepat untuk memandu mereka agar tidak tersesat atau tersasar. Disinilah peranan senior selaku insan yang mudah didekati, berpengalaman dan makan garam dahulu dengan selok-belok kampus boleh memainkan peranan. Senior boleh menjadi mentor dalam aspek akademik misalnya kerana mereka telah menempuh beberapa semester pengajian justeru mempunyai pengetahuan mengenai silibus yang akan dipelajari pada setiap semester,karektor pensyarah yang mengajar, bahan rujukan yang bersesuaian serta tip-tip yang boleh dijadikan panduan.

Senior juga boleh membuka peluang dan ruang kepada junior untuk menyertai pelbagai program di kampus terutamanya menarik mereka dalam persatuan dan kelab pelajar yang ada di kampus. Apabila masuk ke universiti, tiada sesiapa yang mengetahui dengan jelas pencapaian dan minat kita sebelum ini semasa zaman persekolahan, justeru senior membantu menyalurkan mereka ke platform yang sesuai. Penulis secara peribadi ingin berterima kasih kepada senior semasa di USIM, Ustaz Mohamad Hariri Mohd Daud yang kini merupakan personaliti dakwah dan moderator Forum Perdana Hal Ehwal Islam di TV1 kerana ‘memandu’ penulis dalam arena pengucapan awam dan debat universiti dahulu.

Bukan sahaja senior, pentadbir dan pensyarah juga wajar didekati oleh siswa kita kerana orang tua mengingatkan kita “Malu bertanya sesat jalan”. Selaku seorang yang matang, siswa juga perlu mengambil peluang untuk terlibat dengan pelbagai program yang dianjurkan di dalam kampus sama ada program berbentuk ilmiah dan santai. Beranikan diri juga ‘bergelumang’ dalam program kesukarelawanan yang membawa mereka mendekati dan menyelami kehidupan pelbagai lapisan masyarakat. Aktiviti seperti ini akan membuka pemikiran, memugar kematangan dan menajamkan kefahaman yang lebih luas mengenai realiti sebenar kehidupan di luar sana.

Pada masa yang sama, ambil peluang mencabar diri menimba pengalaman menguruskan program di kampus bermula dari program kecil sehingga program mega bertaraf antarabangsa. Melaluinya keyakinan diri dan kemahiran komunikasi dapat ditingkatkan apabila perlu berurusan dengan pelbagai pihak dan melatih diri menjadi pemimpin dan pengurus yang baik. Jika dapat kembali ke zaman mahasiswa, selain aktif berdebat, penulis ingin sangat mengambil peluang untuk mempelajari muzik gamelan dan tarian zapin secara serius! Al-Fatihah buat Allahyarham Tan Sri Jins Samsudin dan Azmil Mustapha.

 

Penulis merupakan Pegawai Tadbir di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) serta Exco Persatuan Pegawai Tadbir dan Ikhtisas (PRAGMATIS) USIM.