Rahsia kepada kejayaan ini ialah pendekatan yang diamalkan iaitu tidak memberitahu kumpulan sasar apa yang harus dilakukan, tidak bersyarah atau berceramah, tidak berkelakuan seperti pakar, tidak mengawal pilihan hidup mereka, tidak menyatakan soal nilai diri seseorang dan kebenaran atau kehebatan seseorang pada orang lain, tidak melabel dan membuat analisis diri, dan tidak menumpukan kepada kelemahan mereka.

Pengasas aktiviti yang diadakan setiap Jumaat ini ialah Nor Akmar Ali, seorang Pekerja Belia Profesional. Beliau turut dibantu beberapa aktivis sosial lain seperti Syed Azmi AlHabshi, Vimmi Yasmin Abdul Razak dan Mohammad Rizan Hassan.

Mereka yang mengikuti aktiviti ini adalah dalam kalangan pengguna dadah, pekerja seks, pembawa HIV/AIDS, gelandangan dan anak-anak warga Chow Kit.

Majlis Belia Malaysia (MBM) dan Federasi Kebangsaan Pekerja Belia (FKPB) adalah antara organisasi yang sentiasa memberi bantuan tetap bagi memastikan kelangsungan aktiviti tersebut.