Mengambil keberkatan pada hari Jumaat meraikan dan menginsafi pengertian sebenar di sebalik ibadah korban, Pusat Islam Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) menganjurkan Program Ibadah Korban dan Akikah 1439H pada hari ini di Kompleks Islam Tuanku Muhriz.

Sebanyak tujuh ekor lembu korban dan dua ekor kambing disembelih dalam majlis yang bermula pukul 8 pagi dan berakhir pukul 11 pagi tadi. Pengarah Pusat Islam, Prof. Madya Dr. Khairul Anuar Mohamad mengambil tanggungjawab menyembelih lembu korban seterusnya diikuti dengan aktiviti gotong-royong melapah dan memotong daging.

”Alhamdulillah, pada tahun ini kita dapat sambutan menggalakkan daripada staf USIM. Sebanyak tujuh ekor lembu dan dua ekor kambing disembelih dalam majlis hari ini. Penyertaan ini telah dibuka kepada staf USIM sejak hujung tahun lepas dengan satu bahagian dikenakan RM680 yang dibayar menerusi kaedah potongan gaji.

”Tahun ini semua peserta korban sepakat untuk mendermakan agihan daging ini kepada fakir miskin, asnaf dan ibu-ibu tunggal di flat Semarak, Nilai, dan staf USIM, selebihnya daging-daging tersebut akan dimasak iaitu sebanyak dua periuk sup dan dua kawah gulai daging umbut pisang disediakan bagi menjamu para jemaah Solat Jumaat yang akan hadir nanti.

”Tahun ini merupakan kali pertama program Ibadah Korban USIM diadakan di Kompleks Islam Tunku Mukriz sejak siap dibina Jun tahun lepas. Sebelum ini ibadah korban kita adakan di Pusat Komersil,"  tambahnya.

Program ini disertai seramai 50 sukarelawan yang terdiri daripada Pengurusan Universiti, anggota Jabatan Keselamatan, pelajar Tamhidi dan kakitangan universiti.