Program The Adventurous Wilderness Experience in The City of Sails New Zealand ini merupakan program sulung GISO USIM ke negara berkenaan, anjuran kelab Urus Setia Latihan Pembangunan Mahasiswa (ULPM) USIM dengan kerjasama Muslim Care Global dan Adabi Corporation.

Pengarah program, Muhammad Amirul Ashraf Noorazman berkata, misi selama lapan hari bermula 28 Julai sehingga 4 Ogos lalu memberikan pengalaman baru dan sangat bermakna kepada delegasi siswa yang terlibat kerana aktiviti yang dijalankan bukan sahaja khusus kepada minoriti Muslim, tetapi juga memberikan khidmat bakti kepada gelandangan bukan Muslim melalui kerjasama gereja St. Paul dan Islamic Centre di Taupo.

“Pelbagai aktiviti dan pengisian dijalankan seperti sesi pembelajaran iqrak, mempelajari komunikasi bahasa Arab, Quran hour, memperkenalkan budaya Malaysia dan banyak lagi bersama masyarakat Muslim di Masjid At-Taqwa, Manukau dan Islamic Centre di Taupo.

“Bukan itu sahaja, yang menariknya lagi delegasi siswa kelab ULPM menyediakan hidangan masakan tempatan Malaysia kepada masyarakat Muslim di Islamic Centre dan kepada golongan gelandangan terbabit,” ujarnya.

Bagi salah seorang peserta yang turut serta, Nur Nadia Mohd Asari amat berterima kasih kepada Bahagian Hal Ehwal Pelajar USIM yang menyediakan platform GISO buat beliau dan rakan-rakan lain menimba pengalaman baharu.

“Melalui GISO, aktiviti kesukarelawanan yang berkait rapat dengan tuntutan agama Islam iaitu saling membantu sesama insan dan berlumba-lumba untuk melakukan kebaikan sesama manusia tanpa mengira agama, bangsa dan negara dapat dijalankan. Pengalaman yang paling bermakna bagi delegasi kami adalah menyediakan hidangan tempatan seperti nasi, kari daging, sup ayam, teh tarik dan pelbagai lagi di kawasan gereja. Ini sesuatu yang baru bagi kami dan kami melihat itu sebagai satu medan dakwah untuk menunjukkan imej Islam yang sebenar kepada masyarakat di sana,” katanya penuh teruja.

Sambil berbakti, kesempatan berada di negara yang terkenal dengan pemandangan alam semulajadi ini membuatkan mereka turut mencuri masa melawat beberapa lokasi menarik dan mendekati budaya dan masyarakat New Zealand.

Para pelajar ini turut melahirkan penghargaan kepada Muslim Care Group dan Adabi Corporation kerana sudi menyumbang dana untuk program yang memberikan banyak manfaat kepada semua terutama masyarakat di New Zealand. Semoga penglibatan dan usaha murni sepanjang program, dapat mencapai objektif dan memberikan impak positif kepada semua terutama kepada delegasi siswa yang terlibat.