Program ini melibatkan 25 siswa USIM yang mengambil kursus kokurikulum Debat Bahasa Melayu (CPA1012) di bawah Pusat Pembangunan Kemahiran Insaniah (PPKI) universiti itu.

Penganjurannya yang dibuat dengan kerjasama Jawatankuasa Surau Desa Anggerik telah menarik penyertaan kanak-kanak berumur antara 7 hingga 12 tahun dari sekitar taman perumahan berkenaan.

Idea untuk mengadakan Daie Junior ini timbul atas saranan Pengurusan Universiti untuk melihat para siswa USIM mendekati masyarakat sekitar kampus dengan program yang bersesuaian agar hubungan erat universiti, siswa bersama komuniti sentiasa terjalin erat dan harmoni.

Menurut pengarah program, Amirul Syahmi Ahmad Suyuti, 20, kanak-kanak yang menyertai program itu didedahkan dengan dua modul yang mereka rangka sendiri iaitu modul Daie Smart Solat dan Daie Smart Speech. Melalui setiap modul ini, kanak-kanak ini diajar secara teori dan amali.

"Dalam modul Daie Smart Solat, kita tumpukan kepada ibadah wuduk dan solat. Peserta cilik ini kita ajar mereka mengenai cara berwuduk yang betul dan sempurna terlebih dahulu. Selepas itu, kita beri fokus pada ibadah solat seperi rukun solat dan bacaan dalam solat dan ambil peluang menunaikan solat sunat Dhuha secara berjemaah. 

USIM-daie-wuduk

Amali mengambil wuduk dengan sempurna.

"Mereka memang aktif bertanya apabila ada kemusykilan dan kami akan jelaskan dengan cara yang mudah supaya mereka faham dan dapat sampaikan pula pada rakan-rakan lain yang tidak berpeluang menyertai program ini. Di sini peranan sebagai daie itu mereka telah mainkan secara tidak langsung," ujar Amirul Syahmi yang juga penuntut Sarjana Muda Quran dan Multimedia.

Siswa Sarjana Muda Undang-undang dan Syariah, Nur Shahirah Elyas, 20,  melahirkan rasa gembira apabila kanak-kanak yang menyertai program itu tidak segan-segan bertanya dan memberi pandangan mereka semasa modul Daie Smart Speech dijalankan.

"Seorang daie yang baik memerlukan juga kepada kemahiran pengucapan awam yang baik agar ilmu yang disampaikan dapat difahami dengan jelas oleh khalayak. Justeru, kanak-kanak ini kita dedahkan dengan aktiviti yang melatih mereka untuk petah berbicara seperti kuiz, kemahiran berfikir, perkongsian sirah nabi dan tips berkomunikasi yang baik," katanya.

Tenaga pengajar kursus Debat Bahasa Melayu, Mohd. Zaini Othman memuji kesungguhan para siswa yang menjayakan program ini kerana mereka melaksanakannya dengan penuh bersemangat sejak dari awal penyediaan kertas kerja, pembentangan untuk kelulusan dan seterusnya perbincangan bersama komuniti setempat. 

Tambahnya, sebagai pengajar, beliau hanya berperanan sebagai penasihat dan pembimbing untuk program ini manakala selebihnya adalah atas inisiatif para siswa terlibat menjayakan program ini secara berpasukan. 

Para siswa USIM yang bertindak sebagai fasilitator sepanjang program menyifatkan objektif penganjuran Smart Daie ini berjaya, memandangkan respon yang diterima daripada peserta cilik setelah menyertai Daie Junior amat memberangsangkan, malah mereka seronok kerana mendapat pendedahan yang jelas mengenai solat dan ilmu pengucapan awam.