Ketua Penerangan Majlis Belia Malaysia (MBM), Mohammad Rizan Hassan berkata, golongan belia perlu sedar perancangan kerjaya yang dibuat dari awal akan menjamin kejayaan hidup mereka dan kesejahteraan generasi muda amnya.

“Anak muda boleh membuat keputusan tentang kerjaya masa depan mereka berdasarkan bakat dan potensi yang ada pada diri.

“Seperti yang kita semua tahu, pekerjaan impian kita hanya akan dicapai setelah kita mengambil langkah-langkah yang perlu dalam membina kemahiran dan kecekapan yang sesuai yang diperlukan ke arah mendapatkan pekerjaan impian itu,” ujarnya pada sesi Suara Belia Mahir bersama 150 orang pelatih bidang Teknologi Acuan Plastik di Kolej Kemahiran Pure Technic, Seremban, baru-baru ini.

Tambah beliau, perancangan kerjaya akan mewujudkan peta jalan yang lebih jelas kepada golongan itu sekali gus melancarkan perjalanan mereka biarpun banyak cabaran atau halangan yang
menanti.

“Jangan merancang sesuatu yang kita tahu tidak mampu dicapai sebaliknya rancanglah sesuatu yang kita yakin mencapainya walaupun nampak sukar," katanya.