Jika dahulu pelanggan ‘hidung belang’ terdiri daripada lelaki dewasa, kini sudah beralih kepada remaja berusia 15 tahun hingga 17 tahun.

Masalah sosial itu amat membimbangkan kerana pada seusia muda itu kumpulan terbabit sudah terjebak dengan kegiatan yang secara pasti akan menjuruskan kepada gejala lebih berat jika tidak dibendung segera.

Ikuti laporan khas awan Mingguan Malaysia, ZULHILMI ZAINAL dan jurugambar, AZLAN HADI dalam membongkar senario yang dikesan berlaku di beberapa premis berkenaan di sekitar Lembah Klang.


KUALA LUMPUR 17 Mac -  Sanggup guna wang saku demi seks. Itulah senario kronik bagi menggambarkan golongan pelajar sekolah mene­ngah yang dikesan terjebak me­langgan pelacur warga asing di beberapa premis yang menawarkan khidmat haram berkenaan di sekitar Cheras, dekat sini.

Lebih menyedihkan, wang sa­ku dibekalkan ibu bapa bagi menampung perbelanjaan harian termasuk pembelajaran mereka digunakan untuk mendapatkan layanan ‘urut’ dan seks di premis berkenaan yang berselindung di sebalik lesen pusat penjagaan kesihatan.

Perkara itu didedahkan seorang wanita warga Indonesia yang bekerja di premis terbabit selepas mengakui dibayar untuk melayan nafsu kumpulan remaja belasan tahun berusia antara 15 hingga 17 tahun.

Menurut wanita berusia 25 ta­hun itu, secara purata, dia mela­yan dua hingga tiga remaja setiap hari.

“Mereka semua remaja yang bersekolah, semuanya muda-muda lagi, setiap kali ke sini mereka akan dikenakan bayaran antara RM158 hingga RM168 untuk la­yanan 45 minit.

“Soal dari mana mereka dapat duit saya tidak tahu, tetapi yang pasti mereka selalunya datang berkumpulan dan lebih ramai pa­da hujung minggu,” katanya ketika ditemui Mingguan Malaysia baru-baru ini.

Lebih mengejutkan, wanita berkenaan turut memaklumkan, ada dalam kalangan remaja ber­kenaan yang mampu memberikan tip kepada gadis-gadis di pre­mis berkenaan selepas tamat sesi layanan mereka.

“Saya melayan kemahuan nafsu mereka sama seperti saya me­­layan pelanggan dewasa lain.

“Sekiranya layanan yang di berikan tip-top, mereka (pelajar) akan memberikan wang tambahan se­bagai tip antara RM20 hingga RM50,” ujarnya.

Menjelaskan berhubung servis dan operasi premis berkenaan, dia memberitahu, harga wanita ditetapkan mengikut negara iaitu RM158 dan RM168 bagi Kemboja dan Indonesia manakala RM178 untuk wanita Vietnam dan Thailand.

“Harga itu adalah untuk sesi 45 minit, maka jika pelanggan mahu lebih masa, maka harganya lebih mahal sedikit.

“Kami banyak rangkaian di sekitar ibu negara dan Sela­ngor. Pe­langgan yang datang dari pe­lajar sekolah hingga ke orang ke­namaan bergelar Datuk yang biasanya dalam kalangan ahli per­niagaan,” ujarnya.