VERSI : Mobile | Akhbar Digital
23 April 2014 / 23 Jamadil Akhir 1435  
  Carian Arkib
LUAR NEGARA

ARKIB : 28/05/2012

Pembunuhan di Syria dikutuk

Gambar dikeluarkan saluran televisyen pembangkang Shaam News Network, menunjukkan mayat seorang kanak-kanak perempuan dan seorang lelaki diletak di atas sebuah kenderaan pemantau PBB di bandar Houla, kelmarin. - AFP

KUWAIT CITY 27 Mei - Menteri-Menteri Luar Liga Arab akan mengadakan mesyuarat tergempar berhubung pembunuhan beramai-ramai seramai 92 rakyat Syria termasuk 32 kanak-kanak oleh tentera rejim yang disahkan pemerhati Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), kata Presiden semasa blok itu, Kuwait hari ini.

"Kuwait akan menghubungi anggota Liga Arab untuk mengadakan satu mesyuarat tergempar bagi mengkaji situasi dan mengambil langkah-langkah bagi menamatkan penindasan ke atas rakyat Syria,'' kata kementerian luar Liga dalam satu kenyataan yang dipetik agensi berita KUNA.

Pada masa sama, Kuwait turut mendekati peringkat serantau dan antarabangsa 'bagi mendesak masyarakat antarabangsa memikul tanggungjawab untuk menghentikan pertumpahan darah' di Syria.

Semalam, PBB mengesahkan dakwaan aktivis hak asasi Syria bahawa seramai 92 orang termasuk 32 kanak-kanak terbunuh dalam serangan ke atas bandar Houla, dipercayai dilakukan tentera kerajaan.

Ketua pemerhati PBB di Syria, Robert Mood menyifatkan peristiwa itu sebagai 'tragedi kejam' selepas anggota pertubuhan melawat bandar berkenaan bagi menilai sendiri situasi di situ.

Lawatan itu dibuat selepas laporan aktivis mendakwa lebih 100 orang terbunuh sewaktu tentera kerajaan menyerang hebat kawasan tersebut pada Jumaat malam lalu.

Menurut aktivis Syria, insiden letupan dan tembakan kedengaran di Houla, 200 kilometer dari utara Damsyik sejurus pasukan pemerhati tiba di bandar itu.

Pembunuhan beramai-ramai itu merupakan satu daripada kejadian terburuk berlaku di Syria selepas 15 bulan kebangkitan rakyat negara tersebut menentang kerajaan.

Tentera Pembebasan Syria (FSA) dalam pada itu menggesa PBB melaksanakan tanggungjawabnya dan menghentikan keganasan di Syria kerana jika tidak, pertubuhan itu akan gagal melaksanakan gencatan senjata yang dianjurkan Duta PBB-Liga Arab, Kofi Annan.

Annan dan Setiausaha Agung PBB, Ban Ki-moon dalam kenyataan berasingan dari Geneva dan New York turut mengutuk pembunuhan itu.

"Jenayah yang mengerikan dan kejam melibatkan penggunaan tentera secara sembarangan dan tidak seimbang ini adalah melanggari undang-undang antarabangsa secara terang-terangan serta komitmen kerajaan Syria untuk tidak menggunakan senjata berat di penempatan penduduk dan melakukan keganasan dalam sebarang bentuk.

"Mereka yang melakukan jenayah ini perlu bertanggungjawab,'' kata kedua-dua pemimpin itu sambil menyeru Presiden Bashar al-Assad supaya menghentikan penggunaan senjata berat dan keganasan di seluruh negara. - AFP/DPA

Utusan Online on Facebook
Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:48
Zohor 1:14
Asar 4:29
Maghrib 7:20
Isyak 8:31
 
 



IKLAN@UTUSAN



BANCIAN ONLINE
IKLAN@UTUSAN

MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.