VERSI : Mobile | Akhbar Digital
20 April 2014 / 20 Jamadil Akhir 1435  
  Carian Arkib
RENCANA

ARKIB : 18/05/2012

Doa baik Allah makbulkan

SEORANG mursyid sufi kelahiran Iran yang bermastautin di Amerika Syarikat, Syeikh Fadhlala Haeri menulis "Hati ibarat sebuah kolam; hati memantulkan dengan baik jika berada dalam ketenangan, buruk jika ia berada dalam kekeruhan."

Maknanya, kemampuan seseorang untuk memantulkan secara jernih kata-kata adalah lahir daripada ketenangan hatinya. (Membaca Alam, Memahami Zaman, Jakarta: 2004, hal. 81).

Melihat kepada lemparan kemarahan seorang ulama politik kepada seorang ulama lain yang menilai pembawaannya terseleweng daripada landasan Islam, mencerminkan kecaman itu adalah lahir dari hati yang tidak jernih.

Bahkan pada suatu ketika dulu, ulama politik berkenaan pernah mengeluarkan seruan kepada pengikutnya melakukan solat hajat dan berdoa secara berjemaah untuk meminta agar Allah SWT menurunkan bala ke atas pihak lawan kerana mempunyai sudut pandangan politik berbeza.

Dengan menggunakan agama dan tuntutan politik peribadi, hakikat dan kepentingan doa disalahgunakan sebagai tindakan membalas dendam. Penyelewengan matlamat berdoa bertentangan dengan hakikat yang digariskan oleh Ahli Sunnah Wal Jamaah, iaitu tidak pernah ada doa bala melainkan memohon supaya mendapat hidayah, atau merayu Allah SWT supaya membuka pintu hati pemimpin kerajaan untuk melaksanakan kebajikan atau keadilan.

Ulama politik berkenaan menganjurkan doa laknat menggambarkan terdesaknya untuk memperluas dan mempertahankan kuasa. Sepatutnya ketika berkecamuk dengan keinginan itu, dia mengingati bahawa rakaman kisah Nabi Musa a.s. ketika ditauliahkan sebagai nabi dan rasul, berdoa kepada Allah SWT dengan hati yang jernih: "Tuhanku! Lapangkanlah dadaku dan permudahkan urusanku dan bebaskanlah kekakuan daripada lidahku agar mereka memahami ucapanku." (Surah Taha: 25-28).

Justeru bagi mencari kaedah terbaik mengelakkan lebih banyak kemungkinan konflik berlaku di antara sesama umat Islam, Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) dengan kerjasama Masjid Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur mengambil inisiatif untuk mengadakan majlis Istighosah Al-Kubra sebelum subuh Sabtu ini dengan harapan kekusutan yang terjadi terungkai manakala ketegaran memegang pendapat yang membawa kepada budaya jumud dan samseng di jalanan dapat dikurangkan.

Pada asasnya, berdoa adalah memenuhi hak Allah terhadap hamba-Nya. Sebagai seorang hamba yang beriman sudah selayaknya kita memohon atas segala kesukaran hidup yang kita hadapi kepada-Nya. Namun demikian, kita wajib berserah diri kepada ketentuan Allah SWT.

Kekuatan seseorang dalam mengubah dirinya dapat menjadi salah satu faktor kunci kejayaan memperolehi pertolongan Allah. Jadi seandainya kita pada masa ini hidup susah berterusan, ini semua bukan kerana Allah tidak mengkabulkan doa kita. Bukan kerana Dia tidak mendengar permohonan hamba- hamba-Nya, mungkin penyebabnya ialah kerana hamba itu tidak mahu muhasabah diri, enggan menghilangkan sikap buruknya dan tidak berupaya mempertingkatkan ibadah. Sesungguhnya Allah SWT benar-benar akan memakbulkan doa setiap hamba-Nya.

Justeru doa sepatutnya dipergunakan untuk meminta sesuatu kebaikan yang rahmatnya itu nanti memberikan kebaikan kepada seluruh umat. Perbuatan Istighosah memberi maksud memohon pertolongan kepada Allah dengan bersungguh-sungguh dengan cara berjemaah.

Dan pada hakikatnya seseorang yang melakukan Istighosah adalah sama dengan berdoa. Allah berfirman dalam surah Al-Anfal ayat 9 yang membawa maksud. "Ingatlah wahai Muhammad ketika kamu memohon pertolongan kepada Tuhanku lalu dia memakbulkan permohonan."

Demikian juga dengan doa para nabi yang berunsur kelembutan dan rendah diri serta untuk kebaikan umat mereka.

Sewajarnya kita melakukan Istighosah kerana kebelakangan ini bermacam-macam perkara yang hampir menggugat kestabilan dan kesejahteraan rakyat di negara ini dan insya-Allah dengan istighosah ini Allah akan mendengar permintaan kita ini.

Sebagai seorang Muslim yang beriman, sepatutnya memohon doa untuk mengatasi kesukaran hidup, mengelak daripada ditimpa sebarang bencana dan penyakit. Kita berdoa dalam persekitaran yang pasrah dengan mendekatkan diri kepada Allah SWT dan rela menerima sebarang takdir kalau ia merupakan ketentuan-Nya. Maknanya, doa merupakan wujud daripada penghambaan diri kita kepada Allah, dan selaras dengan kewajipan memohon pertolongan kepada-Nya.

Kekuatan seseorang dalam mengubah dirinya dapat menjadi salah satu faktor kunci kejayaan memperolehi pertolongan Allah SWT. Jadi seandainya kita pada masa ini hidup susah berterusan, ini semua bukan kerana Allah SWT tidak memakbulkan doa dan tidak mendengar permohonan tersebut. Hakikatnya doa kita tidak mujarab kerana tidak mahu bermuhasabah diri, enggan kembali ke pangkal jalan kerana malu memohon maaf atas kesalahan sebelumnya.

Sesuatu doa yang diterima dan dikabulkan oleh Allah SWT bermaksud: "Dan apabila hamba-hambaKu bertanya padamu tentang aku, maka jawablah bahawasanya aku adalah dekat, aku memakbulkan permohonan orang yang berdoa apabila ia memohon kepada-Ku. Maka hendaklah mereka itu memenuhi segala perintah-Ku agar mereka selalu berada dalam kebenaran." (Surah Al-Baqarah: 186).

Imam Ahmad ibnu Hanbal, pernah dipenjarakan kerana ketegasannya menegaskan: "Seandainya kita mempunyai doa yang kita ketahui makbul, nescaya kita gunakan mendoakan kepada ketua negara." Manakala Rasullullah SAW bersabda: "Agama adalah akhlak yang baik dan agama itu ialah engkau tidak boleh marah" (maksud Hadis).

Allah SWT memberikan kelonggaran, kita boleh melakukan doa bagi memusnahkan kezaliman yang dilakukan oleh orang kafir atau musyrik.

Bagaimanapun, Nabi Muhammad SAW tidak pernah memanjatkan doa laknat bagi sesuatu kaum kecuali terhadap mereka yang memerangi umat Islam secara fizikal. Salah satu doa baginda ialah: Wahai Tuhan berikanlah petunjuk kepada kaumku kerana mereka tidak mengetahui.

Di sisi Allah SWT, seorang yang paling kuat beribadat sekalipun tidak ada nilai ketika akhlaknya buruk. Akhlak yang buruk ialah sombong dan angkuh dengan kuasa yang ada manakala menganggap orang selain sebagai 'kafir' walaupun sedar masih menghadap ke kiblat, membawa kitab dan bersyahadah yang sama.

Bahkan seorang ahli sufi merakamkan meskipun seorang wanita tidak pernah bersembahyang, tetapi tidak membiarkan seekor anjing mati kehausan di padang pasir, wanita berkenaan akan tetap menciumi syurga.

Seorang yang memuji seorang ahli ibadah yang lain dan berkata: "Tentulah si polan itu ahli syurga, kerana dia sentiasa solat tepat pada waktunya, puasa sunat tidak pernah ditinggalkannya, setiap malam Jumaat membaca al-Quran dan bangun tengah malam untuk beribadat." Rasulullah SAW kemudiannya menjawab: Tidak! Dia ahli neraka! Seluruh ibadahnya hancur, kerana dia mempunyai akhlak yang buruk, suka merosakkan orang dengan lidahnya.

Menyedari percanggahan matlamat, maka kita disunatkan beristighosah, memohon pertolongan daripada Allah SWT dengan sungguh-sungguh agar dihindarkan sebarang bentuk perpecahan, penderitaan dan malapetaka.

Ustaz Yusuf Mansur merayu: Jangan sampai kebahagiaan kita tukar dengan penderitaan dan kesedihan." (Wisata Hati: Menemukan Allah di antara Mereka Yang Menderita, Bandung:2007, hal. 51). Kita wajib melestarikan kemakmuran dan kebahagiaan yang kita miliki itu.

Menghancurkan ia adalah lebih mudah berbanding membinanya. Arab spring yang melanda negara-negara Islam di Arab dan Afrika Utara, meskipun sudah setahun berlalu, masih belum ada penamatnya. Bahkan, untuk menetapkan calon sebagai pemimpin pun mereka sanggup mati dan merusuh di jalanan. Itulah akibat tidak bersyukur dan bermuhasabah diri, hanya asyik menutup kelemahan dengan menyalahkan orang lain.

Utusan Online on Facebook
Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:49
Zohor 1:15
Asar 4:28
Maghrib 7:20
Isyak 8:31
 
 



IKLAN@UTUSAN



BANCIAN ONLINE
IKLAN@UTUSAN

MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.