Persoalannya sekarang apakah seseorang itu dianggap mampu apabila hampir 50 peratus perbelanjaan mengerjakan haji ditanggung oleh Tabung Haji yang mana duit tersebut adalah simpanan orang lain. Apakah hukumnya?
Roslan, Kuala Lumpur.

UKE: Tidaklah menjadi kesalahan kepada pihak Tabung Haji untuk memberi subsidi kepada jemaah haji Malaysia bagi menunaikan ibadat haji. Harus diingat, subsidi yang diberikan oleh pihak Tabung Haji bukanlah diambil daripada duit simpanan pendeposit Tabung Haji. Kalau diambil daripada duit pendeposit, tentulah setiap tahun simpanan kita berkurangan. Sebaliknya setiap tahun pendeposit mendapat bonus daripada pihak Tabung Haji hasil daripada keuntungan dan pelaburan dalam perniagaan. Maka atas kebijaksanaan perniagaan, pihak Tabung Haji mampu memberi subsidi kepada bakal jemaah haji. Jadi, tanggapan bahawa subsidi diambil daripada duit pendeposit adalah salah. Kemampuan mengerjakan haji daripada sudut wang sudah pun selesai bila cukup simpanan apatah lagi apabila ditampung oleh subsidi Tabung Haji. Saya harap tuan tak payahlah susah hati nak buat haji. Cukupkan simpanan dan daftarlah untuk mengerjakan haji. Buatlah elok-elok, insya- Allah dapat haji yang mabrur.

 

Saf budak tidak bersunat

Apakah benar jika seorang budak lelaki belum bersunat tidakboleh berada satu saf dengan lelaki dewasa yang lain?
Sha, Kuala Lumpur


UKE: Dibolehkan untuk kanak-kanak datang solat di masjid. Namun alangkah baiknya kalau mengikut peraturan-peraturan yang berikut:- Pertama: Jika seorang imam bersama dengan dua orang ataupun lebih daripada makmum lelaki, ataupun di belakang imam tersebut terdapat seorang lelaki dewasa dan seorang kanak-kanak, maka keduanya berada dalam satu saf di belakang imam. Kedua: Sekiranya seorang imam diikuti oleh dua orang makmum lelaki dan seorang perempuan, maka kedua-dua orang lelaki tersebut berada dalam satu saf di belakang imam manakala perempuan tersebut berada di belakang kedua-duanya. Ketiga: Dalam keadaan ramainya makmum lelaki berserta perempuan dan kanak-kanak bersama imam, maka kedudukan para makmum lelaki adalah di saf pertama atau kedua-dua saf yang paling hampir dengan imam. Kemudian kanak-kanak berada di belakang mereka. Manakala terdapat suatu pendapat di sisi para fukaha bermazhab Syafie yang mengatakan bahawa diletakkan di antara dua orang lelaki dewasa itu seorang kanak-kanak supaya dia dapat mempelajari pergerakanpergerakan solat. Lihat Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah (27/36- 37). Jika kanak-kanak teramat kecil dan susah untuk dijaga serta mengganggu jemaah, maka aulanya tidak dibawa ke masjid. Jika kanak-kanak tidak mengganggu namun dibimbangi oleh kedua ibu bapa akan keadaannya, maka boleh diletakkan di sebelah ibu bapanya. Saya syorkan dalam keadaan sebegini, ibu bapa bersolat di tepi dinding (hujung saf) dan diletakkan anaknya itu di hujung sekali. Jika kanakkanak itu mampu berdikari, aulanya diletakkan di saf kanakkanak. Sayugia juga wujudnya penyelia yang mengawasi dan membimbing kanak-kanak dalam saf dan solat mereka agar kanak-kanak dapat melakukan solat dengan sebaik mungkin. Di samping itu, dia dapat menasihatkan kanak-kanak daripada berbuat bising dengan mengajarkan adab-adab dan meraikan kehormatan masjid.

 

Beri zakat ceramah?

Apakah ilmu agama, contoh ceramah agama yang diberikan boleh dianggap sebagai zakat?
Aiza Mohd. Ali , Shah Alam.

UKE: Zakat adalah zakatlah. Zakat harta, zakat fitrah, zakat tanaman dan pelbagai lagi jenis zakat. Tak ada pula saya dengar memberi ceramah itu adalah memberi zakat.  Kata-katayang baik, katakata nasihat dan kata-kata berilmiah seperti majlis itu bolehlah dikatakan macam mendapat pahala seperti orang bersedekah. Malah itulah yang dikatakan beruntung seperti disebut dalam surah al-Asr dan menasihati orang dengan seruan kepada Allah SWT adalah yang terbaik seperti disebut dalam surah Fussilat: 33. Maka dapatlah kebaikan macam orang bersedekah dan bukannya dia sudah berzakat.