Malah, dia mengaku langsung tidak segan dengan penampilan sebegitu, meskipun dianggap sebagai cubaan untuk menarik le­bih ramai penonton ke pawagam.

Tambahan pula apabila rata-rata peminat memberikan maklum balas berhubung kehebatan fizikal luarannya itu, aktor berdarah kacukan Melayu dan Belanda ini bersyukur apabila setiap usaha yang dibuat demi menjayakan watak Ejim dalam filem itu berbayar.

Biarpun diberi masa lima minggu oleh pihak produksi untuk mendapatkan tubuh kekar sebegitu sebelum masuk ke set penggambaran, Zul tetap optimis dalam usaha untuk mendapatkan susuk tubuh mengikut gambaran diberikan mengikut skrip berpandukan novel karya Ramlee Awang Murshid.

“Kalau orang memperkatakan tentang saya tidak berbaju dalam filem tersebut, itu petanda yang bagus. Orang perasan tentang kerja saya. Kalau nak kata saya sengaja tayang badan sekali pun, tak payah nak nafikan, itu memang betul. Tapi saya tayang badan kekar demi filem, demi rezeki dan bukan saja-saja nak tayang. Dalam terma kerja saya, tak salah tayang badan demi mata pencarian,” kata Zul kepada Mingguan Malaysia, kelmarin.

Sepanjang filem berdurasi 113 minit itu berlangsung, Zul langsung tidak mengenakan baju bagi menjayakan watak Ejim mewakili sebahagian penduduk asli Sabah. Dia hanya berseluar pendek yang ditambah dengan aksesori di bahagian pinggang menyerupai seperti cawat.

Sebagai pelakon profesional, Zul akur bahawa setiap inci susuk tubuh seseorang aktor itu umpama aset dan memainkan peranan penting dalam usaha menarik lebih ramai peminat untuk menyokong setiap projek yang membabitkan dirinya.

Formula standard itu juga digunapakai semua pelakon di dunia dan menjadi kayu pengukur kalangan peminat untuk terus meminati sekaligus memberi sokongan terhadap apa juga projek yang dijayakannya.

“Dalam bab tayang badan ini juga, tak ada istilah tayang suka-suka.

“Tak kira di laman sosial atau mana saja. Kita ada disiplin kerja kita. Tak boleh main ‘langgar’ saja-saja,” kata pelakon drama Titian Cinta yang sedang ditayangkan di televisyen ketika ini.

Tombiruo: Penunggu Rimba sebuah karya arahan Seth Larney turut membariskan pelakon se­perti Datuk M.Nasir, Faizal Hussien, Farid Kamil, Nabila Huda, Hasnul Rahmat dan Dynaz Mokhtar.

Hingga kini filem aksi ber­kenaan dikhabarkan sudah pun mengutip hampir RM4 juta selepas ditayangkan 12 Oktober lalu di seluruh pawagam, termasuk Brunei dan Singapura.