Menurut Zul, hampir separuh daripada keseluruhan jalan cerita akan menyaksikannya beraksi separuh bogel memandangkan banyak adegan perlawanan serta latih tubi dimuatkan.

“Selain itu, saya juga diminta menyimpan jambang. Ikutkan, saya rimas berimej seperti ini tetapi demi kerja, saya turutkan sahaja,” katanya kepada Utusan Online.

Zul berkata demikian ketika ditemui sejurus diumumkan sebagai pemenang Aktor Pilihan menerusi drama Titian Cinta dalam majlis anugerah Drama Festival Kuala Lumpur 2018 yang diadakan baru-baru ini.

Mengulas tentang pembabitannya yang semakin aktif dalam filem bergenre aksi, Zul menganggap peluang tersebut adalah platform terbaik untuknya mempamerkan bakat kepada khalayak.

“Sekarang ini filem aksi kian mendapat sambutan hangat penonton. Selepas J Revolusi dan Tombiruo, kini giliran saya untuk terlibat dalam produksi Sangkar.

“Meskipun ketiga-tiga filem ini berkongsi genre yang sama, hakikatnya ada perbezaan ketara.

“J Revolusi adalah filem kepolisan, Tombiruo pula sebuah naskhah adiwira, manakala Sangkar berkait-rapat dengan dunia sukan ekstrem,” jelasnya memberi penerangan.

Ujar pelakon berdarah kacukan Melayu-Belanda itu, dia membuat penjenamaan terhadap gaya lakonannya iaitu memilih watak romantik untuk drama, sementara lebih gemarkan watak aksi dan lasak untuk filem. - UTUSAN ONLINE