AMY MASTURA

Tidak terlalu berada di kemuncak namun tidak pula berada di bawah, Amy Mastura Suhaimi, bagaimanapun tidak pernah tergelincir daripada landasannya sebagai penyanyi tanah air yang mana, kelebihannya di sini, Amy sentiasa mekar dalam hati peminat biarpun dia tidak lagi serancak dulu.

Mengaku bahawa keadaan itu sebenarnya sudah lama disedari, kata penyanyi berusia 45 tahun ini, dia sudah terlalu lama mendakap zon selesa dalam kerjayanya dan tidak sesekali dia mahu merosakkannya dengan melakukan sesuatu yang luar biasa atas dasar mahu bersaing dengan pelapis baru dalam industri.

Menganggap dia tidak perlu bersaing dengan mana-mana pihak, Amy sendiri mendedahkan bahawa dia yang memilih jalan ini di mana dia menolak untuk terlalu bersikap berlebihan dan lebih selesa untuk bersederhana sahaja.

“Saya bersyukur sebab saya meniti perjalanan seni dalam suasana yang mudah. Tetapi untuk merangkumkan semua, saya tahu grafnya sangat sederhana. Nak kata hebat sangat, tidak. Nak kata tak ada tawaran, ada sahaja rezeki saya.

“Pendek kata, Alhamdulillah. Saya akui selesa dalam zon ini sebab masa saya di zaman remaja dulu, hajat saya ialah mahu ada sebuah album saja dan itu sudah mencukupi.

“Tetapi apa yang saya dapat sekarang sudah lebih dari itu dan rasanya. Jadi tak perlulah saya nak mengejar apa-apa lagi. Tiada apa pun yang saya nak kejar,” katanya.

Menurut Amy, dia juga mengaku enggan menyertai mana-mana pertandingan nyanyian contohnya seperti Gegar Vaganza kerana mengenangkan bahawa dia tidak begitu berani untuk berdepan dengan kritikan saban minggu dan menerima tekanan yang hebat untuk menyajikan yang sempurna buat tatapan penonton.

Katanya, ia juga selari dengan prinsipnya yang enggan bersaing.

“Cukuplah saya masuk pertandingan Asia Bagus tahun 1993 dulu, dah serik dah nak bertanding sebab jantung saya ni tak boleh terima tekanan begitu sekarang ni. Tak sanggup rasanya.

“Pendek kata apa saja pertandingan saya tak nak masuk, setakat inilah, tak tahulah kalau di masa depan saya terbuka hati nak masuk pula. Tapi buat masa ni, saya tak mahu cari pasal,” tambahnya berseloroh.

Menurut Amy juga, dia tidak merasa tertekan untuk menempatkan diri di dalam suasana dunia hiburan yang kini dibanjiri dengan lambakan pelapis baru.

“Saya tak anggap saya perlu masuk dalam dunia mereka kerana saya sudah pun berada dalam dunia hiburan yang sama. Yang membezakan adalah perkembangan arusnya dan sekarang ni, saya kena bekerja dengan orang muda-muda.

“Saya suka ambil pendapat mereka, baik artis, pemuzik mahupun wartawan secara tak langsung kita pun tahu apa yang terbaik untuk kita dan tidak terpuruk di takuk yang lama,” katanya.

Tak pernah diva

Mengenang perjalanan seninya sepanjang tempoh itu, kata Amy, dia berani mengatakan bahawa dia tidak pernah berangan bagus atau berlagak diva biarpun satu ketika, dia pernah meniti saat populariti yang hebat ketika kerjaya muzik dan lakonannya sedang benar-benar rancak.

Kata Amy, bagaimanapun, tentu sekali akan ada satu ketika, kesilapan dilakukan dan ia baginya menjadi pengajaran berguna buat dirinya.

“Setakat ini tak pernah pula saya rasa diva atau apa, tak pernah pun! Bagi saya sesiapa saja yang memasuki bidang ini sepatutnya kerana minat. Bila dah minat dan buat bersungguh-sungguh saya tak lupakan niat asal saya.

“Peluang yang ada saya dakap erat-erat dan tak mahu merosakkan dengan tindakan yang bodoh. Saya fikir, biarlah saya begini kerana andai kata saya tinggalkan dunia seni, sekurang-kurangnya saya tinggalkan nama yang baik dan orang akan lebih menghormati benda tu,” luahnya.

Jarang sekali timbul dengan cerita sensasi dan kontroversi menurut Amy yang baru sahaja melancarkan lagu baharu berjudul Kalimah, sejak dahulu dia jarang terpalit dengan cerita mahupun gosip panas.

Berkongsi mengenai lagu terbaru, Amy mengaku lagu tersebut sudah dirakamkan sejak dua tahun lepas namun terpaksa akur dengan pengurusan yang mahu agar lagu berjudul Menari Ler dilancarkan terlebih dahulu.

“Saya tak kisah yang mana dahulu asalkan ada sahaja produk saya ada. Sejak dahulu misi saya hanyalah untuk menghasilkan sekurang-kurangnya sebuah lagu sahaja dalam masa setahun. Saya mahu meneruskan kelangsungan kerjaya seni dan memastikan saya sentiasa ada dalam industri biarpun sederhana,” katanya.