Bagi Zoey, lagu ciptaan Amirah Ali dan lirik oleh Shah Shamsiri itu merupakan satu bonus kepadanya yang sebelum ini tampil dengan single Bilang I Love You.

Katanya, biarpun dia lebih berpengalaman dalam bidang seni berbanding rakan artis lain namun dalam bidang nyanyian dia adalah orang baharu berbanding barisan penyanyi muda berkenaan.

“Apabila ditawarkan untuk menyanyi bersama artis FMC, saya teruja sebab sekurang-kurangnya ada juga lagu raya. Tapi saya sedar diri kerana saya akan menyanyi bersama barisan artis ternama, jadi untuk itu saya belajar vokal dengan Ernie sebelum masuk studio.

“Banyak perkara yang saya belajar daripada mereka yang tidak pernah kedekut ilmu untuk berkongsi dengan saya yang masih baru dalam bidang seni suara ini,” akuinya.

Sementara itu, lagu Girang Syawal Tiba merupakan lagu kempen raya untuk Pasaraya Mydin yang diperkenalkan bagi menghangatkan lagi sambutan hari raya pada tahun ini.

Selain mempromosi lagu Girang Syawal Tiba bersama rakan-rakan artis FMC, Zoey juga tidak ketinggalan untuk mempromosikan single sulungnya, Bilang I Love You.

Sewaktu jualan Festival Raya KL yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) baru-baru ini, Zoey sempat menghibur pengunjung dengan lagu ciptaan Firman Pria Band dari Indonesia itu.

“Kalau ikutkan hati, setiap kali nak menyanyi di pentas, perasaan gementar tu pasti ada. Maklumlah saya bukan penyanyi, lagi pun lagu Bilang I Love You itu adalah projek suka-suka saja. Lagu itu dihasilkan untuk menjadikan kerjaya seni saya di Indonesia tampak pelbagai.

“Lagu itu telah dimuat naik dalam saluran YouTube sejak Mei lalu dan rata-rata komen yang saya terima cukup positif. Setakat ini saya belum buat apa-apa promosi lagi untuk lagu itu kerana sibuk dengan lakonan. Harap-harap lepas raya nanti adalah peluang untuk saya mempromosi secara serius,” jelasnya yang bakal muncul dalam drama Cik Sempurna mulai 16 Jun ini menerusi slot Dahlia, pukul 7 malam, TV3.

Kata Zoey, dalam waktu terdekat ini juga dia bercadang untuk melancarkan lagu Bilang I Love You di Indonesia sebagai menghargai sokongan peminatnya di negara itu. - UTUSAN ONLINE