Selepas bersusah payah membina nama dan paling utama sehabis daya mencuba mengekalkan kedudukannya dalam industri, Zizan bagaimanapun sedar akan tiba satu hari di mana barangkali dirinya akan dipandang sepi dalam dunia hiburan.

Ia satu hal yang tidak mustahil memandangkan lumrah dunia seni, sentiasa akan ada pelapis baharu yang akan mewarnai dan menggantikan orang-orang lama dalam apa jua bidang sekali pun.

Menjentik hati lelaki kelahiran Dungun, Terengganu ini bagaimana dia mungkin akan berdepan dengan situasi berkenaan, Zizan tenang melihatnya dari sisi positif.

Katanya, untuk apa memenuhkan jiwa dengan kerisauan tiada sempadan sedangkan apa yang sepatutnya dilakukan adalah meletakkan fokus pada kejayaan.

“Buat apa fokus pada zaman kesuraman sedangkan kita boleh sentiasa belajar dengan orang yang bagus dan berjaya? Sebagai contoh, Datuk Shah Rukh Khan, Amir Khan bahkan pelakon Hollywood seperti Tom Cruise, lihat macam mana mereka mengekalkan kualiti kerja dan disiplin mereka.

“Mereka tahu apa yang peminat mahu dan mereka usaha memberikan yang terbaik. Itu cara mereka bertahan dalam kerjaya,”katanya.

Tidak memikirkan soal populariti tetapi lebih kepada rezeki, Zizan berpandangan mereka yang sering memikirkan soal kejatuhan tergolong dalam kelompok mereka yang ‘sakit’.

“Semacam orang itu sedang menghidap ‘anxiety disorder’ dan biasanya dia juga ada masalah sindrom primadona yang cukup risau kalau zaman kejatuhan menghimpit mereka. Saya tak nak begitu.

“Jangan risaulah, Allah SWT sudah letak rezeki untuk kita, jadi buat sahajalah yang terbaik. Bagi saya, definisi kejayaan ni ialah apabila kita tutup mata, duit masih berjalan dan bekerja untuk kita.

“Tidak bermakna kalau sibuk di kaca televisyen itu bermakna saya sudah berjaya. Apa yang saya mahukan adalah di hari tua nanti saya boleh berjalan-jalan dan hidup dalam keadaan tenang tanpa memikirkan masalah,”katanya.

Matang

Enggan lagi dihujani dengan soalan berkaitan cinta dan perihal perkahwinan, Zizan yang kini menjalin hubungan intim dengan pelakon dan pengacara comel molek, Mira Filzah menganggap ada baiknya andai dia memilih jalan untuk berdiam untuk memperkatakan hal tersebut.

Baginya, andai sudah tiba masa untuk membuka bicara hal kahwin, dia tidak akan pernah teragak-agak untuk kongsikan dengan semua terutama dengan pihak media.

“Paling saya bimbang, orang akan bosan dengan saya dan cerita begitu. Nantilah, bila sudah bersedia, akan saya maklumkan pada semua dan buka rahsia siapa wanita tersebut,” katanya dalam teka-teki.

Memperlihatkan kematangannya kini, akui Zizan dia perlu menjaga kelakuan seiring dengan usianya, bahkan kini tidak bermain-main dalam aspek kerjaya kerana mahu menjaga kualiti dan kepercayaan yang diberikan oleh semua pihak padanya.

“Semakin hari, semakin saya ambil berat dengan apa yang saya buat dalam sebarang hal apalagi saya memang seorang teliti dalam kerja dan tak suka sambil lewa.

“Sebab semakin saya bekerja, semakin sering saya berlawan dengan diri sendiri dan masyarakat. Itulah sebab kenapa saya sering mahu tampil lebih baik.

“Kalau tak baik, ia satu pencapaian yang tidak berjaya yang bermakna, saya menipu diri, tidak hargai diri dan menunjukkan yang diri ini tidak pernah belajar daripada kelemahan sendiri,” katanya.

Belum mahu tinggalkan Malaysia

Dalam pada itu, mengajaknya berbicara mengenai langkah panjangnya ke Indonesia, pelawak yang baru sahaja muncul dengan lagu baharu berjudul Kau Takkan Tahu ini mengaku kini berulang-alik dari Kuala Lumpur ke Jakarta menerima sebarang tawaran yang diberikan padanya.

Banyak terbabit untuk program televisyen termasuk bakal muncul dengan drama dan filem terbitan negara tersebut, Zizan berbesar hati melihat situasi di mana dia sudah mula diintai orang luar.

“Kebanyakan masa memang saya akan ke sana untuk urusan kerja dan mengembangkan sayap. Tapi bukan sahaja kerja, saya juga akan turut menyelitkan peluang untuk bercuti sebab sepanjang 10 tahun bekerja, jarang dapat peluang itu dan boleh dikira dengan jari.

“Selama ini kalau nampak saya ke luar negara, itu semua atas urusan kerja. Kali ini berbeza sikit dan Alhamdulillah tawaran di sana juga ada,” katanya.

Bagaimanapun, itu tidak bermaksud Zizan sepenuhnya akan beralih ke ruang hiburan di negara itu sebagaimana yang berlaku pada segelintir artis negara contohnya Ashraf Sinclair.

“Kalau saya fikir begitu, itu bermakna saya tidak menghargai peminat dan industri di sini lagi. Belum lagi terfikir mahu buat begitu.

“Lagipun, Malaysia dan Indonesia tidak jauh pun. Asalkan saya dan pihak pengurusan tahu susun jadual, rasanya tidak ada masalah. Kedua-duanya adalah rezeki,” katanya.