Artis naungan Rusa Music dan MVM Production itu bukanlah barisan penyanyi pertama yang mendendangkan zikir Hasbi Rabbi dalam bentuk lagu kerana sebelum ini Sami Yusuf, Hafiz Hamidun, Akhil Hayy dan kumpulan Hijjaz pernah melakukannya.

Menurut Pegawai Promosi Rusa Music, Hazira Tahar, idea untuk menghasilkan zikir Hasbi Rabbi dalam bentuk lagu diinspirasikan oleh syarikat tersebut selepas menonton video lama nyanyian Ariff Bahran.

“Apabila pihak syarikat tengok video-video lama dan nampak Ariff masa dulu sering menyertai kumpulan nasyid sewaktu sekolah, datang idea untuk buat lagu sebegitu.

“Lagipun untuk buat kelainan, kami gandingkan penyanyi yang seangkatan dengannya seperti Ayie dan Syafiq. Sementara Asfan pula, disebabkan lagu dendangannya, Fantamorgana Cinta sedang top untuk runut bunyi drama Cinta Fatamorgana, kami masukkan dia sama,” jelas Hazira.

Tambahnya, projek untuk lagu tersebut dibuat dalam waktu singkat dan seminggu sebelum puasa penyanyi berkenaan menjalani rakaman suara di studio.

“Sewaktu kami maklumkan kepada mereka, masing-masing tidak sabar untuk menjayakan projek ini. Sebenarnya sewaktu rakaman suara, terus dibuat penggambaran untuk muzik video. Lagu itu baru saja dimuat naik di YouTube dan kami belum hantar ke stesen radio lagi,” katanya.

Sementara itu, Ariff, 20, yang popular dengan lagu Kata Akhirmu berkata, dia tidak pernah menyanyi dengan rakan-rakan lain sebelum ini dan lagu Hasbi Rabbi telah menyatukan mereka.

Katanya, sebelum melakukan rakaman suara, masing-masing tidak berkesempatan untuk membuat latihan sebaliknya hanya berkesempatan untuk membahagikan bahagian untuk dinyanyikan saja.

“Alhamdulillah semuanya berjalan lancar. Sebelum ini saya tidak pernah menyanyi dengan mereka atau mengadakan persembahan bersama-sama. Itulah kali pertama kali beradu suara.

“Mungkin lagu ini adalah zikir yang kita sudah biasa dengar dan amal, jadi tiada masalah sewaktu merakamkannya. Saya juga sewaktu dipelawa untuk menyanyikan lagu tersebut rasa seronok dan sedikit sebanyak saham akhirat untuk saya,” katanya kepada Utusan Online.

Sepanjang Ramadan ini, kata Ariff, dia lebih senang berada di Kafe Bello milik keluarganya yang terletak di Petaling Jaya, Selangor untuk membantu ibunya kerana sepanjang bulan ini perniagaan agak sibuk. - UTUSAN ONLINE