Baginya, senario yang dihadapi perlu ditangani dengan tenang termasuk melayan kerenah empat orang anaknya yang tidak patut dipersalah gara-gara keruntuhan mahligai berusia 18 tahun miliknya.

Menyedari hakikat demikian, seawal minggu pertama Ramadan, Ziana telah membawa keempat-empat anaknya untuk meredah kesesakan kota raya Kuala Lumpur dengan misi mencari pakaian demi meraikan kedatangan Hari Raya Aidilfitri.

“Selama ini, merekalah permata paling berharga yang menjadi sumber kekuatan untuk saya menempuhi liku-liku kehidupan.

“Dan pastinya saya mahu mereka gembira menyambut lebaran kali ini, melupakan kisah lampau. Apatah lagi, mereka masih kecil dan berhak untuk berasa gembira,” katanya sambil tersenyum.

Bercerita pengalaman membeli-belah dengan anak-anak tanpa kehadiran suami, Armin Zaharin Ahmad Zambri, 53, buat pertama kali penyanyi tersebut meluangkan masa selama 12 jam memenuhi kehendak anak-anaknya.

“Bayangkan, kami keluar bermula pukul 10 pagi, pergi dari satu kompleks beli-belah ke kompleks beli-belah yang lain, dalam pukul 10 malam baru pulang ke rumah.

“Sepanjang tempoh tersebut, kami cuma berhenti seketika untuk berbuka puasa. Selesai makan, kami sambung membeli-belah semula hinggalah kompleks tutup,” katanya.

Menurut Ziana, walaupun tak dinafikan masing-masing kepenatan, namun dia berasa puas dan seronok kerana dapat memenuhi keinginan anak-anaknya berdasarkan bajet yang diperuntuk.

Tambahnya, anak-anak tidak begitu cerewet memilih pakaian berjenama asalkan selesa sudah memadai.

“Cuma kasut sahaja mereka pentingkan jenama. Baju atau seluar tidak kisah. Malah mereka akan bertanya pendapat saya dahulu sebelum membelinya,” ujar Ziana.

Hasil perkahwinan Ziana dan Armin, mereka dikurniakan empat cahaya mata iaitu Muhammad Aiman, 18; Muhammad Ammar, 14; serta sepasang kembar, Muhammad Ariel dan Siti Nur Kaseh, 9. - IFQDAR RAHMAN

Mengulas sambutan Aidilfitri dengan ahli keluarganya, Ziana berkemungkinan akan menunaikan permintaan anak-anaknya selama ini untuk berhari raya di perantauan memandangkan sudah lama mereka inginkannya.

Kata penyanyi lagu Madah Berhelah itu, percutian tersebut baru pada peringkat rancangan dan belum memutuskan destinasi yang bakal mereka tuju untuk menghabiskan masa bersama-sama.

“Bagaimanapun kami akan menyambut hari raya pertama dan kedua di Shah Alam, Selangor terlebih dulu sebelum meneruskan hasrat kami anak-beranak untuk bercuti.

“Perancangan ini saya aturkan dengan anak sulung saya, Aiman. Dia pun sudah besar panjang. Sebab itu, sekarang ini dia banyak membantu saya dalam membuat keputusan terutama meninjau lokasi menarik untuk kami sekeluarga beristirehat.

“Selain Aiman, Ammar pun sudah pandai berdikari. Kedua-duanya amat memahami situasi yang sedang berlaku. Ketika membeli-belah keperluan raya, mereka akan bertanya terlebih dahulu mengenai bajet,” kata Ziana memuji anak-anaknya.

Lebih membuatnya rasa terharu, Aiman dan Ammar lebih mendahulukan adik kembar mereka, Ariel serta Kaseh sebelum memenuhi kehendak sendiri.

Justeru, sempena hari raya kelak, Ziana berharap mereka sekeluarga dapat menikmati kebahagiaan dan kegembiraan maksimum, melupakan setiap duka lara yang ditempuhi sejak kebelakangan ini.

“Sejujurnya, saya lega apabila jelas terpancar pada wajah mereka akan kegembiraan yang benar-benar dirasakan. Susah untuk melihat mereka gembira seperti ini,” katanya.