Selain aktif berlakon telefilem, Ziana, 49, juga kerap diundang sebagai juri profesional untuk pelbagai program realiti televisyen selain menghiburkan peminat di majlis-majlis makan malam korporat.

Ziana yang melibatkan diri secara serius dalam bidang seni sejak 1989 masih lagi aktif berjuang dalam gelanggang seni.

Bagaimanapun isteri kepada Armin Zaharin Ahmad Zambri dan ibu kepada empat orang cahaya mata itu perlu membahagikan waktu antara kerjaya dan rumah tangga secara seimbang.

Terkini, Ziana yang pernah masyhur menerusi filem Sembilu dan Maria Mariana bakal muncul dalam telefilem Datin Glam arahan Rashid Sibir yang akan disiarkan bulan depan.

Kepada wartawan Mega HITS, KHADIJAH IBRAHIM, Ziana berkongsi banyak cerita mengenai bidang lakonan selain menjawab persoalan apakah dia bakal menyertai program realiti Gegar Vaganza musim hadapan sekiranya ditawarkan oleh stesen televisyen Astro.

Apa yang membuatkan Ziana bersetuju berlakon telefilem tersebut? Adakah kerana watak atau hubungan baik dengan pengarah?

Saya bersetuju kerana watak yang diberi sangat berbeza. Saya tidak pernah bawa watak seorang datin. Oleh kerana karakter Datin Ramona sesuatu yang baharu buat saya, jadi saya cuba.

Kebetulan pula Rashid seorang pengarah yang bagus. Dia juga merupakan pengarah yang sangat saya hormat kerana kebanyakan karya arahannya bagus serta membawa mesej kekeluargaan dan persekitaran, kehidupan dan banyak pengajaran. Itu merupakan antara sebab saya terima tawaran Rashid.

Adakah watak itu mencabar?

Watak Datin Ramona ada turun naik moodnya. Untuk menjadi datin faham-faham sajalah saya ini orang biasa bukannya datin.

Selalunya saya bawa watak garang atau kelakar dan apabila bawa watak datin agak mencabar sebab kena jadi orang baik-baik saja. Sukar nak jadi datin sebenarnya tapi Alhamdulillah apabila ada babak dengan Mak Norlia (Norlia Ghani), watak itu memerlukan saya menjadi ‘nakal’ dan ‘degil’. Sekurang-kurangnya saya mudah menghayatinya.

Nampaknya Ziana begitu aktif berlakon telefilem. Sudah tidak berminat berlakon filem?

Antara telefilem terakhir lakonan saya ialah Mati Tunggu Sekejap (2015) dan Bisik Pada Allah (2016) yang ditayangkan pada Oktober lalu serta untuk tayangan Hari Raya Aidilfitri. Itu pun arahan Rashid Sibir juga sementara filem terakhir lakonan saya ialah Magika.

Sebenarnya teringin juga berlakon filem cuma saya belum naskhah dan watak yang bersesuaian dengan saya. Selain itu saya perlu tengok juga waktu penggambaran, apakah penggambaran banyak di Kuala Lumpur atau di luar daerah sebab saya terikat dalam bidang nyanyian dan anak-anak pula bersekolah, itu yang kena fikir dua kali (untuk berlakon filem).

Dalam Datin Glam, Ziana berlakon di samping Rita Rudaini. Adakah ini gandingan kali pertama? Bagaimana dengan keserasian?

Memang pertama kali saya berlakon dengan Rita Rudaini yang berlakon sebagai Datin Ros. Selalunya tengok lakonan dia, memang bagus. Apabila dapat berlakon dengan Rita, memang seronok kerana dia seorang yang ‘sempoi’ dan baik. Turut sama dalam drama itu ialah Norman Hakim yang berlakon sebagai Datuk Kamal.

Alhamdulillah ada keserasian. Personalitinya membuatkan saya rasa selesa dan dia sangat kelakar. Kalau diberi peluang saya mahu berlakon dengan Rita lagi.

Selepas Datin Glam, ada tawaran berlakon lain? Watak bagaimana yang Ziana teringin lakonkan?

Saya ada terima tawaran telefilem pada Februari depan. Wataknya memang mencabar juga.

Bagaimana pula dengan kerjaya seni suara? Bila akan tampil dengan single baharu dan lagu ciptaan siapa? Adakah lagu solo atau berduet?

Sekarang saya dalam proses mencari lagu baharu untuk dirakamkan. Apabila sudah ada lagu, kena fikir siapa pula yang akan melakukan kerja-kerja susunan muzik dan sebagainya. Lepas itu, kena fikir untuk atur sesi promosi dan buat kulit album pula.

Apabila semua perkara harus difikirkan dan dibuat sendiri, baru saya tahu susah senangnya. Album solo ini saya dedikasikan khas untuk peminat. Saya mahu lagu-lagu yang dimuatkan dalam album ini nanti bercerita tentang saya, kehidupan yang berkaitan dengan orang sekeliling.

Seandainya ditawar menyertai Gegar Vaganza, adakah Ziana akan menerima atau sebaliknya?

Saya tidak pernah ditawar untuk menyertai program Gegar Vaganza sebab saya sering menjadi juri untuk banyak program realiti. Jadi, macam tak seronok pula kalau tiba-tiba jadi peserta.

Alhamdulillah, semenjak awal menyanyi sampai ke hari ini, saya masih berada dalam industri muzik. Saya tidak berehat atau ‘hilang’ dari radar industri hiburan. Seperti yang kita sedia maklum, Gegar Vaganza merupakan program terbaik untuk memberitahu peminat yang mereka kembali memeriahkan pentas seni.

Bercakap soal perniagaan, bagaimana dengan jualan tudung yang diusahakan?

Syukur, Alhamdulillah. Daripada 6,000 helai tudung yang dikeluarkan, kita berjaya menjual hampir 4,000 helai dalam tempoh setahun.

Saya bersyukur kerana perkembangannya sangat baik. Kita kena sedia maklum, perniagaan yang diusahakan tidak boleh meletup dalam sekelip mata. Kita perlu banyak belajar dan terima maklum balas daripada pengguna. Bisnes tudung ini adalah pentas untuk uji pasaran dan ketahui kehendak pelanggan. Apabila sudah tahu, di masa akan datang lebih mudah untuk kita keluarkan tudung mengikut cita rasa pengguna.