Bagaimanapun, bakat lakonan dan nyanyian yang dimiliki pelakon berusia 20 tahun ini telah lama dikesan oleh penerbit teater Diari Wanita… Episod YB & Nayonya.

Justeru, apabila penyanyi dan pelakon Misha Omar tidak dapat bersama dalam pementasan teater tersebut pada pementasan 11 dan 12 Februari ini, Zera telah ditawarkan untuk mengisi kekosongan.

“Saya terkejut apabila dihubungi penerbit yang mahukan saya melakonkan watak Keponakan Cantik bagi menggantikan Misha yang mempunyai komitmen lain pada hari berkenaan.

“Tawaran ini amat menakutkan apatah lagi melihat senarai barisan pelakon lain yang mantap. Namun saya menganggap ia sebagai rahmat yang tidak boleh dilepaskan begitu saja,” tegasnya yang telah menjalani latihan sejak dua minggu lalu di Istana Budaya.

Sebenarnya, bakat Zera telah dikesan oleh Penerbit teater Diari Wanita… Episod YB & Nayonya, Siti Rohayah sejak empat tahun lalu apabila menawarkannya watak Kak Ros dalam teater Upin & Ipin The Musical (2012) dan teater Nyonya & The Gang (2013).

Sebelum itu beliau pernah muncul dalam teater Aladdin, Tun Teja, Detik.

“Saya paling junior sama ada dari segi umur dan pengalaman di pentas berbanding dengan pelakon yang sedia ada. Memang merasa tekanan yang amat sangat, tetapi saya mesti berusaha berlipat kali ganda untuk menjayakan watak ini meskipun hanya berlakon dua hari saja,” katanya.

Ketika menjalani latihan, Zera mendapat tunjuk ajar daripada koreografer A.Aris Kadir dan pengarah, Rosminah Mohd Tahir.

Baginya, teknik berlakon di pentas sangat berbeza di televisyen atau filem kerana memerlukan fokus, penghayatan watak dan penghafalan dialog.

“Saya berharap penonton tidak membuat perbandingan antara saya dengan Misha kerana Misha telah terlibat tiga kali dalam persembahan Nyonya.

“Namun, jika ada perbandingan yang dibuat seharusnya ke arah yang positif bagi kami memantapkan kualiti kerja,” tambahnya.

Diari Wanita….Episod YB & Nyonya menggabungkan dua cerita dalam satu persembahan. Naskhah Nyonya ditulis oleh penulis Indonesia iaitu Wisran Hadi manakala, YB Ani adalah sebuah karya baru yang ditulis oleh Rosminah Tahir yang mengangkat peranan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Teater ini membariskan pelakon Sherry Alhadad, Misha Omar, Amy Mastura, Nad Zainal, Juhara Ayob, Dina Nadzir, Shahrul Mizad Ashari dan Dayang Kartini Awang.

Teater terbitan CTRA Production dengan kerjasama Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat serta Istana Budaya ini akan dipentaskan di panggung Sari Istana Budaya, Kuala Lumpur pada 11 – 16 Februari ini.

Harga Tiket RM35, RM55, RM85, RM105 & RM155 boleh dibeli dengan melayari www.AirAsiaRedtix.com. Keterangan lanjut boleh menghubungi 017-8716060/012-2977220/017-2004249/03-61866592.