Zarul bakal muncul dalam drama bersiri Cik Serba Tahu bermula April ini. - Gambar Mohd Farizwan Hasbullah - UTUSAN ONLINE

Zarul atau nama sebenarnya Zairulkefli Husin, 44, membuat penampilan sulung menerusi drama bersiri 16 episod berjudul Cik Serba Tahu bagi tayangan saluran Astro Ria (104). 


Berkongsi hari pertamanya di lokasi penggambaran, Zarul berkata, perasaannya bercampur baur dan tidak dapat menyembunyikan rasa takut. 


“Hari pertama penggambaran berlangsung memang saya rasa sangat berdebar sebab takut tak dapat memberikan yang terbaik seperti yang dinginkan pengarah. 


“Alhamdullilah, kru produksi serta pelakon lain banyak membantu dan bila masuk hari kedua serta hari-hari seterusnya, saya sudah semakin selesa,“ ujarnya kepada Utusan Online.


Drama bersiri yang akan mula ditayangkan April ini turut membariskan pelakon Remy Ishak dan Sari Yanti.


Dalam pada itu, Zarul mengakui yang dunia lakonan dan nyanyian merupakan dua kerjaya yang berbeza.


“Sebenarnya dunia lakonan lebih mencabar berbanding berada di atas pentas membuat persembahan. 


“Lakonan memerlukan saya berlakon mengikut watak serta skrip. Tapi kalau menyanyi, saya jadi diri sendiri. 


“Apa-apa pun saya suka dengan dua dunia ini. Walaupun saya mula berlakon agak lewat tapi (saya) tak serik dan sejak berhenti sebagai kru kabin, tawaran dalam dunia seni semakin murah,” katanya. - UTUSAN ONLINE