‘Remuk’ adalah sebuah lagu ciptaan sepenuhnya oleh komposer Aepul Roza, yang juga merupakan vokalis bagi kumpulan Drama Band dan lagu ini mengisahkan tentang cerita seseorang yang pasrah akibat sering ditipu.

“Sebelum terpikat dengan lagu ‘Remuk’ ini, ada beberapa lagi lagu yang lain datang namun saya terpaksa tolak kerana setelah melalui perbincangan demi perbincangan, pihak saya mendapati ia kurang sesuai dengan Zarul Husin.

“Namun setelah Aepul mempamerkan hasil kerjanya dan peminat pun suka maka terlahirnya single ketiga ini,” ujarnya dalam satu sidang media di Vilej Damansara, Damansara Perdana.

Dalam pada itu, Zarul yang ketika ini terlibat dengan program Mentor Otai mengakui jadualnya agak padat sehinggakan terpaksa menolak beberapa tawaran lakonan untuk drama dan telefilem.

“Sama juga untuk promosi lagu ‘Remuk’ ini, saya hanya kesempatan untuk menghasilkan video lirik lagu sahaja. Sebab itu video klip rasmi lagu ini pun belum ada di mana-mana.

“Apa-apa pun saya berharap melalui lagu ini, saya dapat mengumpul peminat baharu sekali gus membolehkan lagu ini diterima ramai,” katanya. - UTUSAN ONLINE