ZAROL ZARIF banyak mendapat sokongan daripada keluarga.

Menurut penyanyi itu, sebelum ini arwah bapanya, Mohd. Mazle Hamzah yang banyak menyokong kerjaya seninya.

“Banyak pertandingan nyanyian dan sebagainya, arwah bapa yang suruh saya sertai. Dia memang sangat menyokong saya untuk menjadi seorang penyanyi.

“Hari ini, saya hadir dengan single baru dan ibu saya, Shamsiah Mohd. Yusof datang memberi sokongan, itu yang buat saya gagal mengawal emosi dan menangis,” jelasnya.

Terdahulu, Zarol ditemui semasa majlis pelancaran singlenya berjudul Bidadari di bawah syarikat Irma Entertainment.

Bercerita mengenai single terbaharunya, jelas Zarol, dia membawa genre balada yang berlainan sedikit daripada genre muzik semasa sekarang.

“Memang saya hendak buat kelainan untuk tampil dengan single balada. Lagipun, kekuatan saya memang pada genre balada.

“Cuma pada masa akan datang, saya akan lebih fleksibel dan bersedia untuk bereksperimen dengan pelbagai lagi jenis muzik,” jelasnya. - UTUSAN ONLINE