Tidak sanggup lagi menyembunyikan gerangan mereka berdua kata pelakon berusia 44 tahun ini, sudah tiba masanya dia berkongsi cerita peribadinya yang satu itu.

“Saya tidak mencari publisiti murah dengan mendedahkan identiti mereka berdua di media massa. Niat saya untuk mengelakkan fitnah dan cerita kurang elok tentang status saya selepas ini.

“Sebenarnya saya hanya berkahwin dengan seorang lelaki saja dalam hidup iaitu Datuk Seri Dr. Abdul Raihan Wan Jaafar ketika berusia 22 tahun. Hanya dia suami saya dunia akhirat,” kata Zarina yang ditemui Pancaindera selepas mengadakan majlis kenduri doa selamat di kediamannya di Subang Jaya, Selangor.

Mengulas tentang penyebaran cerita kurang elok tentang perkahwinannya sejak membuat kemunculan semula kira-kira tujuh tahun lalu Zarina memberitahu, itu antara punca yang mendorong dia nekad dengan keputusan yang dibuat.

Biarpun madunya, Datin Seri Noorhasimah Mohd. Noor pada mulanya kurang senang apabila Zarina menyuarakan hasrat itu namun selepas beberapa kali berbincang, akhirnya wanita itu memberi kebenaran.

Justeru sempena kedatangan tahun baru 2015 Zarina mengambil inisiatif untuk membuka lembaran baru dalam kehidupannya dengan membuat pendedahan penting tersebut.

“Berlaku salah faham tentang hasrat saya untuk berpoligami apabila saya sendiri yang meminta kebenaran berkahwin daripada Noorhashimah pada peringkat awal dulu.

“Apabila Datin Seri terima, saya bersyukur dan pada waktu itu saya berjanji untuk menjadi madu dan isteri yang baik.

“Alhamdulillah mereka memahami kerjaya saya yang terdedah dengan publisiti. Syaratnya saya tidak membabitkan mereka berdua.

“Saya bersyukur dapat bermadu dengan Noorhashimah yang banyak mengajar saya cara berniaga,” katanya yang menjadi pegawai pemasaran dalam syarikat kosmetik Addura Marketing (M) Sdn. Bhd. milik bersama Datin Seri Noorhasimah.

Menerusi perkahwinan itu , Zarina dikurniakan empat cahaya mata iaitu si kembar Muhammad Razil Azrai, Muhammad Raizal Azrai, Muhammad Naim Azrai dan Muhammad Adam Azrai.

Simpati

MENGAKU mahu membuat majlis persandingan secara besar-besaran bagi menghebahkan perkahwinan mereka sementelah mendapat penajaan banyak pihak namun begitu terpaksa dibatalkan bagi menghormati situasi getir yang dihadapi mangsa banjir di seluruh negara.

Sementelah keluarga mentua yang tinggal di Kampung Tualang, Kuala Krai, Kelantan turut terlibat dalam banjir kata Zarina, itu yang menyebabkan majlis persandingan bertukar menjadi doa selamat.

“Saya cemas apabila mendapat tahu keluarga ibu mentua terpaksa berlindung di sebuah bukit selama lima hari sebelum mendapat bantuan daripada pihak berkuasa.

“Mereka hanya makan biskut dan minum air hujan sepanjang tempoh tersebut. Kebetulan ibu mentua tidak berapa sihat, itu yang membuatkan hati tak senang.

“Macam manalah mereka dapat berdepan dengan situasi sebegitu,” katanya yang akan melawat keluarga mentua tidak lama lagi.

Selain itu apa yang membimbangkan Zarina apabila ada dalam kalangan rakan-rakannya yang tinggal di kampung halaman di Parit, Perak turut mengalami nasib yang sama.

Justeru kata Zarina, dia mengambil inisiatif menghantar sumbangan peribadi secara individu bagi memastikan bekalan makanan dan pakaian sampai ke tangan mangsa yang benar-benar memerlukan bantuan.