Malah kanvas seni yang dilakar oleh anak kelahiran Lenggong, Perak itu dilihat penuh warna warni dan cukup indah sejak dia mula dikenali menerusi drama Love You Mr. Arrogant pada 2013 selepas sedekad menceburi bidang lakonan pada 2003.

Namun demi mendukung watak Melissa dalam telenovela Monalisa yang bakal disiarkan di saluran Astro Prima dan Astro Maya HD bermula 20 Mac ini, kelihatan kamus hidup pelaku seni itu sedikit tercalit dengan coretan hitam gara-gara salah faham segelintir pengikutnya di laman sosial.

“Watak Melissa atau Lisa memerlukan komitmen berbeza berbanding drama-drama yang pernah saya bintangi sebelum ini.

“Dalam Monalisa, buat pertama kali, saya perlu mewarnakan rambut untuk merealisasikan karakter Lisa, seorang gadis yang digambarkan menjalani kehidupan hampir sempurna.

“Sementara menerusi drama-drama terdahulu, saya sering membawakan watak-watak gadis baik atau anak dara kampung yang penuh ciri-ciri ketimuran termasuk bertudung litup.

“Disebabkan itu, apabila saya memuat naik gambar terkini di laman sosial dengan imej Lisa, peminat mula mengkritik dan mengecam penampilan tersebut,” katanya.

Menurut Zara, ramai dalam kalangan pengikutnya tidak boleh menerima perubahan yang dilakukannya malah ada yang beranggapan aktres tersebut telah berubah sikap.

“Hakikatnya, saya masih Zara Zya yang dulu. Cuma perubahan drastik terhadap penampilan saya untuk watak tersebut membuatkan mereka sesuka hati menilai dengan sangat prejudis.

“Padahal setiap gambar saya telah sertakan kapsyen atau penerangan yang sewajarnya agar mereka tidak salah faham.

“Bagaimanapun mereka tidak membaca kapsyen tersebut lantas membuat kesimpulan yang bukan-bukan.

“Menjadi lumrah, pengikut akan mudah tertarik melihat foto sahaja tanpa mahu membaca penerangan yang ditulis. Itu sikap yang sukar untuk dibendung,” jelasnya.

Bagaimanapun Zara akur dengan kecaman dan kritikan tersebut kerana menganggap setiap teguran daripada peminatnya menunjukkan mereka mengambil berat tentang dirinya.

Lagu Hilang taruhan pertama

Dalam pada itu, Zara bakal melancarkan single pertama nyanyiannya berjudul Hilang, hasil nukilan Fauzi Aisunam manakala liriknya pula ditulis oleh Iman Imran.

Menurut Zara, lagu tersebut berentak balada pop dan berharap kehadirannya sebagai penyanyi dapat menambah seri dalam mewarnai pentas muzik tanah air.

“Saya dapat rasakan ramai yang akan cuba mempertikai kredibiliti nyanyian saya apabila Hilang dilancarkan kelak.

“Tetapi saya sedia berhadapan dengan semua permasalahan tersebut. Lagu ini adalah hadiah buat para peminat saya,” katanya.

Katanya lagi, proses merakamkan lagu itu akan dilakukan dalam masa terdekat seandainya mempunyai kelapangan.

Ini kerana dia masih lagi terikat dengan kesibukan penggambaran Monalisa yang diarahkan oleh Shahrulezad Mohameddin sebanyak 80 episod.

“Saya mahu pastikan rakaman tersebut dibuat dengan sempurna, tidak mahu dibuat secara acuh tak acuh. Sebab itu kena tunggu saya senggang, barulah masuk studio.

“Single ini adalah titik tolak yang menentukan kredibiliti nyanyian saya.

“Secara jujurnya saya bukanlah seorang penyanyi yang memiliki vokal hebat, tetapi sekurang-kurangnya saya mahu buktikan kemampuan saya sebagai seorang penyanyi,” tambahnya.