Kriteria ini ada dalam diri pelakon Sharnaaz Ahmad satu masa dulu. Hinggakan pernah juga mencetuskan permusuhan dengan segelintir artis dan peminat gara-gara kelantangannya itu.

“Saya selalu cakap besar. Asal ‘sedap’ mulut kita saja, saya akan lontarkan pandangan saya. Tak kiralah orang nak setuju atau tidak, itu belakang cerita.

“Orang nak suka saya atau tidak sekalipun, tak pernah sedikit pun saya peduli. Yang penting saya puas hati,” kata Sharnaaz merujuk sifat panas baran yang sinonim dengannya.

Namun begitu, segala sifat buruknya yang diperkatakan ramai itu berubah seiring dengan tanggungjawab dan status dipikul. Pelakon drama Suamiku Encik Sotong ini tidak lagi seperti dulu.

Sifat panas baran dan tidak mudah sabar itu seakan-akan sudah menghilang. Sharnaaz kini menjadi seorang lelaki yang lebih tenang dan fokus pada kehidupannya hari ini.

Statusnya sebagai suami, Noor Nabila Mohd. Noor, 34, dan anak, Jebat Jeydan Ahmad yang lahir pada 30 Ogos lalu itu mendorong kepada perubahan besar dalam hidupnya hari ini.

“Entahlah, tiba-tiba darah yang mudah menggelegak ini dah tak macam dulu lagi. Saya jadi lebih bertenang sekarang, mungkin disebabkan faktor usia kot.

“Saya dah masuk usia 33 pada tahun ini. Lagipun sudah ada anak, elok sangatlah kalau saya berubah,” kata bintang filem Juvana 3: Perhitungan Terakhir ini.

 

PELENGKAP

Pelakon drama Cinta Bukan Kristal yang baru selesai ditayangkan ini mengakui kehidupan yang dilalui semakin indah pada hari ini. Lebih-lebih lagi saat melihat Jebat di depan mata adalah nikmat tidak terhingga.
Anugerah besar itu membuatkan dia lebih menghargai insan kesayangan di sekelilingnya. Lebih belajar erti tanggungjawab yang pernah dirasakan tidak perlu satu masa dulu.
“Pada hari pertama Jebat dilahirkan, saya keliru dengan perasaan menjadi bapa. Tapi selepas beberapa ketika, perasaan sayang itu semakin menebal apabila ada interaksi antara kami.
“Rupa-rupanya Jebat adalah pelengkap kepada kehidupan saya. Dia adalah segala-galanya,” katanya lagi.
Sharnaaz berkahwin dengan Nabila yang merupakan kakak kepada pelakon Neefola pada 31 Mac 2017.