Sebagai duta bagi kempen tersebut, kedua-dua bintang popular itu bertanggungjawab untuk menyebarkan mesej berkenaan kepentingan setiap individu memiliki perlindungan insurans.

Zainal, 59, berkata, masih ramai dalam kalangan masyarakat negara ini termasuk mereka yang bekerja dalam industri hiburan yang belum menyedari pentingnya perkara itu.

“Sebenarnya masih ramai yang tidak mengutamakan insurans terutamanya untuk melindungi diri serta menfokuskan masa depan mereka dari segi kewangan.

“Sebagai pekerja dalam industri ini, kami tidak mempunyai akaun Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan perlindungan Perkeso. Jadi cara yang terbaik ialah dengan membeli insurans.

“Selain itu, saya melihat ada dalam kalangan artis kita yang tidak menabung dan tidak mempunyai insurans pada usia muda menyebabkan mereka terpaksa bergantung harap pada bantuan orang bila sudah tua.

“Bagi menghindari sikap meminta-minta ini, lebih baik kita sedar pada peringkat awal dengan membeli perlindungan insurans,” jelasnya ketika ditemui dalam majlis pelancaran kempen Fast vs Easy Etiqa di sini hari ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Insurans dan Takaful Etiqa, Kamaludin Ahmad berkata, pemilihan dua selebriti tersebut kerana mereka mempunyai pengaruh yang kuat.

“Zainal dan Afdlin sangat terkenal di Malaysia dan pastinya mempunyai ramai pengikut terutamanya dalam media sosial.

“Kami perlukan pengaruh mereka untuk menyampai mesej tentang kepentingan perlindungan insurans serta menyebarkan mengenai perkhidmatan kami yang cepat dan mudah,” katanya. - UTUSAN ONLINE.