Drama bersiri Perempuan Paling Bahagia yang disiarkan di Astro Oasis merupakan lakonan terbaharu mereka selepas kali terakhirnya menerusi filem Juvana 3.

Menurut Zahiril, 33, dia akui terpaksa berulang kali melakonkan babak yang sama berikutan ‘terganggu’ dengan reaksi isterinya sehingga mengganggu tumpuan.

“Jadi kelakar pula sebab di rumah watak kita lain dan bercakap pun macam biasa tapi bila berada di set penggambaran, saya kena jadi orang lain.

“Agak melucukan hingga beberapa kali kami terpaksa ulang adegan yang sama sebab pada awalnya susah untuk saya membayangkan watak dalam drama itu kerana tahu dia ialah isteri saya,” katanya.

Walau bagaimanapun, jelas Zahiril lagi, dia tidak menjadikan hal itu satu masalah besar memandangkan dalam drama tersebut memerlukan mereka bersentuhan.

Pelakon filem Pekak itu berkata, satu kelebihan buatnya kerana diberi peluang berlakon dengan isteri kerana dia tidak perlu terlalu memikirkan tentang batas sentuhan dengan pelakon lain.

“Sesuailah dengan watak saya dan Shera yang perlu menjadi kekasih dan akhirnya berkahwin.

“Sudah tentu banyak memerlukan kami kena bersentuhan. Bila isteri sendiri yang jadi gandingan drama itu, semuanya dipermudahkan.

“Jujurnya saya tidak rasa was-was bila ada babak kena berpegangan dan berpelukan sebagai suami dan isteri dalam drama itu,” ulasnya.

Drama bersiri tersebut disiarkan setiap hari Isnin hingga Rabu pada pukul 9 malam.-UTUSAN ONLINE