Malah, buah tangan sulung anak jati kelahiran Kuching, Sarawak yang berdurasi selama lima minit itu sehingga ke hari ini masih kedengaran di corong-corong radio dan menduduki carta teratas di beberapa stesen radio tempatan.

Kata Zah Amirul atau nama sebenarnya Amirul Hamzah Sarkawi itu, dia tidak menyangka bahawa single pertamanya yang dikongsikan di laman video YouTube itu mendapat sambutan peminat industri hiburan tempatan.

“Saya sangat bersyukur. Lagu Indah yang ditulis sekitar tahun 2012 diterima ramai sehingga ditonton lebih 40,000 kali selepas perkongsian di YouTube.

“Pada awalnya, lagu ini ditulis ketika saya dan Ahyu diundang untuk membuat persembahan akustik. Ketika siap untuk dirakamkan, saya mengajak Asyraf Hardy untuk menambahkan lagi warna-warni pada lagu tersebut dengan persembahan rap,” katanya yang giat membuat promosi bersama syarikat rakaman Life Records.

Ketika ditanya bagaimana dia mendapat idea untuk menghasilkan sebuah lagu, Zah Amirul memberitahu, mungkin itu bakat yang telah dikurniakan kepada dirinya.

“Saya gemar menulis lirik sejak di bangku sekolah lagi. Kebanyakan lagu adalah hasil daripada eksperimen yang dilakukan sendiri.

“Selain usaha, saya percaya mungkin ini merupakan anugerah Tuhan kerana segelintir orang sampai ‘pecah kepala’ untuk menghasilkan satu lagu, tetapi saya tidak,” jelas Zah Amirul yang gemar menjadikan muzik Indonesia sebagai rujukan.

Beritahunya, dia turut menyatakan kesediaannya untuk berhijrah ke Kuala Lumpur bagi melebarkan lagi sayapnya dalam dunia hiburan sekiranya mendapat peluang dan rezeki yang murah.

“Jika ada rezeki dan peluang yang cerah, saya bersedia untuk berhijrah ke Kuala Lumpur supaya dapat memberi fokus sepenuhnya terhadap karier nyanyian.

“Tidak dinafikan, sepanjang menceburi bidang nyanyan ini, pelbagai cabaran dihadapi tetapi saya menganggap setiap pengalaman itu adalah guru terbaik dalam mendidik diri sendiri,” ujarnya.

Jelasnya, prinsip yang sering diguna pakainya sehingga hari ini adalah selagi hidup, jangan sesekali menyerah kalah.
– DHIYA’ZULHILMI DAUD / SYEFRY MONIZ