Menurutnya, beliau mula berasa tidak sihat sejak semalam dan disyaki mengalami keracunan makanan.


“Semalam lagi saya sudah pergi ke klinik dan diberikan ubat. Masa itu selera makan sudah makin kurang. Pagi tadi saya paksa juga diri untuk makan roti namun selepas makan, saya mula muntah-muntah dan terus ke hospital.

“Hari ini sahaja sudah beberapa kali saya muntah hingga membuatkan badan saya lemah,” jelasnya ketika dihubungi Utusan Online.


Tambah Yusof, beliau tidak menolak kemungkinan faktor tekanan bekerja membuatkan badannya mula lemah.


“Sekarang memang saya sibuk dengan mengendalikan syarikat, buat program televisyen dan Shamsul pula sedang menjalani penggambaran filem Munafik 2.


“Jadi, ruang untuk saya berehat itu agak terhad,” katanya. 


Buat masa ini, Yusof memberitahu beliau kemungkinan akan berada di hospital selama dua atau tiga hari mengikut arahan doktor.


Yang berlaku ini menurut Yusof, adalah peringatan untuknya supaya tidak berkerja terlalu keras walaupun semangatnya masih membara.


“Selagi saya sihat, saya akan terus bekerja tetapi kena berjaga-jagalah supaya tidak memberi kesan tidak baik kepada kesihatan,” jelasnya. - UTUSAN ONLINE