Bercakap mengenai karier, Yazer Yusof, bekas peserta program Akademi Fantasia (AF) musim ke-3 ini, memberitahu impiannya dalam dunia nyanyian tidak pernah berkubur. Malah walaupun namanya tidak begitu gah di Semenanjung namun dia sebenarnya cukup dikenali di negeri asalnya.

“Nampak sahaja seperti saya tiada dalam industri, tetapi sebenarnya saya masih menyanyi seperti biasa. Cuma bukan di sini tetapi di Sabah. Kalau ikutkan permintaan untuk saya menyanyi tidak pernah putus di sana.

“Saya juga kadang-kadang berada di sini tetapi perlu berulang alik memandangkan kehidupan saya di Sabah bersama keluarga,” katanya lagi.

Muncul dengan lagu terbaharu berjudul Teruja, Yazer yakin ini adalah permulaan yang baik untuk dirinya kembali mencari ruang dalam industri ini. Malah muncul dengan genre moden rock yang dianggap lebih segar dan sesuai buat pendengar masa kini.

“Saya kini berada bawah pihak pengurusan Macam Macam Music yang berpangkalan di Kota Kinabalu, Sabah. Selain itu juga pemilik Macam-Macam Music, Jonathan Tse turut bertindak sebagai komposer buat lagu terbaru saya ini.

“Soal mengapa saya begitu berani untuk muncul dengan komposer baru, bagi saya ini adalah satu permulaan yang baik memandangkan saya lebih mementingkan kemampuan sesebuah lagu itu sendiri,” katanya lagi.

Di sebalik kehilangannya nama, Yazer sebenarnya tidak pernah sunyi daripada kisah kontroversi. Baru-baru ini, ada yang mengatakan rumah tangga penyanyi ini dan isterinya, Ekin Rahman sedang bergolak.

Menafikan khabar angin itu, kata Yazer, dia dan isterinya kini sedang bahagia dan tidak tahu bagaimana dakwaan sebegitu boleh timbul.

“Terkejut sebenarnya bila ada yang bertanya sama ada saya sudah bercerai dengan Ekin. Pelik juga macam mana boleh timbul gosip seperti itu.

“Sehingga ke hari ini dia masih isteri saya dan kami bahagia sahaja. Malah boleh lihat sendiri di laman sosial kami, di situ kami memang kongsi gambar bersama,” katanya yang juga ayah kepada Muhammad Noah yang kini berusia dua tahun.

Selain Yazer, Ekin juga sebelum ini cukup dikenali sebagai salah seorang peserta AF musim ke-3. Seperti Yazer, nama isterinya itu juga dikatakan kian hilang dari industri, gara-gara kurang aktif.

Menjelaskan perkara ini kata Yazer, isterinya juga masih lagi aktif menyanyi cuma bukan di Semenanjung tetapi di Sabah.

“Ekin masih lagi menyanyi sama seperti saya, malah kami juga selalu dapat undangan nyanyian bersama.

“Cuma untuk dia berulang alik dari Sabah ke Kuala Lumpur sedikit sukar kerana dia yang menguruskan keluarga,” katanya.

Menolak dakwaan dia melarang isterinya daripada terus bergelar penyanyi, Yazer menjelaskan, sebagai suami, dia sentiasa menyokong minat Ekin.

“Tidak saya tidak pernah melarang dia untuk menyanyi. Kalau ikutkan memang dia tidak begitu aktif di sini tetapi di Sabah dia tetap terima undangan untuk membuat persembahan.

“Malah saya juga memang berhasrat untuk mempunyai lagu duet bersama dia suatu hari nanti.

“Cuma sekarang belum jumpa lagu yang sesuai lagi,” jelas Yazer mengenai impiannya.