Mengambil ilham daripada sebuah kisah benar yang berlaku di Sekolah Menengah Kebangsaan Pinang Tunggal di Kedah, Adiwiraku menjadi bukti yang sebuah filem jujur yang bercerita tentang realiti hidup masyarakat di Malaysia dan berjiwa besar, pastinya punya nilai yang cukup tinggi.

Ketepikan pulangan keuntungan di pawagam yang tidak setanding filem-filem komersial lain, kebanyakan filem yang berada pada senarai finalis FFM29 termasuk Adiwiraku sendiri (yang hanya mengutip sekitar RM117,810 selama 21 hari tayangan), tempat mereka bukan di pawagam.

Dari 53 buah filem yang dipertanding pada FFM29 dengan 41 buah filem berbahasa Melayu, enam (Mandarin), lima (Tamil) dan satu (Inggeris), hanya beberapa buah filem yang tersenarai berada pada pencalonan akhir.

Filem-filem tersebut yang mengutip pelbagai anugerah mengikut kategori yang dipertandingkan, bukanlah naskhah yang memberi pulangan berlipat ganda kepada produser, sebaliknya hanya laris dan bernilai tinggi pada mata panel juri profesional yang diketuai pengarah dan penulis Adman Salleh.

Citra karya mereka mendukung nilai kemanusiaan, menuntut pemikiran dengan penceritaan yang jujur, malah tidak berlebih-lebihan dan tidak pula berkurangan.

Barangkali, ini satu permulaan dan pembuka jalan kepada pengkarya tempatan untuk melaksanakan tugas mereka sebagai insan seni untuk lebih banyak melahirkan naskhah yang lebih dekat di jiwa penonton.

Malah sejak dahulu, filem yang bukan berorientasikan hiburan yang menjelmakan visual secara jujur dan penceritaan yang sangat telus, sering kali punya bahagian kemenangan dalam anugerah profesional.

Cuma barangkali sekuat naskhah yang dilahirkan, pengkarya juga perlu kuat dari segi semangat dan jiwa untuk berdepan dengan kekalahan untung dan rugi dari segi perniagaan.

Secara keseluruhan FFM29 kali ini dilihat bersifat adil dan saksama dalam penganugerahan untuk setiap kategori. Tidak ada satu filem yang memonopoli banyak kemenangan dan melebihi yang lain.

Ini merupakan sesuatu yang positif untuk industri filem negara. Kita sudah boleh mengharap kepada ramai lagi pengarah untuk menghasilkan filem yang baik.

Malah, perkara ini juga akan memberi tekanan kepada penggiat filem yang lain untuk berada dalam kelompok teratas di FFM.

Filem Interchange dan Redha masing-masing menggondol empat kemenangan, manakala filem-filem lain iaitu Hanyut, You Mean The World To Me, Desolasi, Shuttle Life, Pekak, J Revolusi dan Abang Long Fadhil 2 berjaya membawa pulang trofi menerusi 24 kategori yang ditawarkan.

Dan apabila Finas mengambil keputusan untuk merahsiakan finalis bagi FFM29 kali ini bagi mengelak kontroversi dalam kalangan penggiat industri, sebenarnya memberi impak positif kepada jumlah kehadiran.

Jarang sekali melihat dewan FFM dipenuhi dengan kapasiti maksimum oleh para penggiat seni dan pengkarya. Selain hadir untuk menyokong industri, pastinya mereka berharap untuk membawa pulang anugerah menerusi naskhah masing-masing.

Tahun ini menyaksikan tiada pertikaian dan ‘cakap-cakap belakang’ mengenai keputusan keseluruhan kerana majoriti penggiat seni dan semua pihak berpuas hati dan bersetuju dengan pilihan juri.

Keputusan Finas untuk memansuhkan dua kategori iaitu Filem Terbaik Kebangsaan dan Filem Terbaik Malaysia yang diperkenal tahun lalu juga adalah satu tindakan yang bijak.

Perkara sebegini yang sepatutnya dilakukan untuk mewujudkan saingan kepada semua pengkarya filem berbilang bangsa menghasilkan nashkah yang mampu memegang anugerah tertinggi festival.

Menyentuh mengenai perjalanan persembahan pada malam itu, Finas cuba memberi intepretasi 1Malaysia menerusi segmen-segmen yang ada.

Bagaimanapun persembahan malam itu kurang menyengat dan boleh diperkemas lagi pada tahun hadapan.