Pengerusi YKAT, Datuk DJ Dave berkata, nama tersebut ditukar selaras dengan misi, visi dan agenda sebenar yayasan iaitu menjaga kebajikan artis, membela nasib artis tanpa mengira bangsa, agama dan usia.

Sejak ditubuhkan pada 2012, yayasan itu telah membantu lebih 1,000 orang artis termasuk di Sabah dan Sarawak yang ditimpa kesusahan seperti sakit, kemalangan serta waris artis yang telah meninggal dunia.

“Kami juga memerlukan sokongan kerajaan yang baharu bagi membantu visi dan misi YKAT dalam memberi bantuan kepada artis-artis yang memerlukan. Kami juga berharap artis-artis muda turut serta membantu yayasan ini,” katanya ketika melancarkan nama baharu YKAT.

Pihak YKAT juga membuka peluang kepada mana-mana badan korporat atau individu yang ingin menyumbang apa jua kerjasama yang bermanfaat bagi membantu yayasan.

Sementara itu, YKAT akan bekerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan badan korporat untuk mengumpul dana melalui penganjuran kejohanan badminton dan malam gala pada 14 dan 15 Julai ini dan sumbangan akan disalurkan kepada Persatuan Kanak-Kanak Spastik Selangor dan Wilayah Persekutuan.

Untuk maklumat lanjut mengenai tiket, borang pendaftaran badminton dan jadual untuk makan malam Gala Nite sila layari www.ykat.org/gaccb atau hubungi Spastic Children Association @03 79582393 / 0379550296. - UTUSAN ONLINE.