Percaya atau tidak, filem dalam genre aksi sains fiksyen (sci-fi) seringkali menjadi sasaran penonton untuk menyerbu pawagam kerana ia membenarkan kelompok peminat filem seperti itu untuk bermain dengan imaginasi spekulatif mengenai dunia sains dan teknologi.

Di Malaysia, satu-satunya pengarah yang berani bereksperimentasi dalam genre sci-fi adalah Aziz M. Osman menerusi filem XX Ray (1992) dan XX Ray II (1995).

Biarpun sudah 24 tahun berlalu, Aziz kini masih menduduki ‘kerusi’ tersebut dan bakal hadir menyajikan penonton dengan karya XX Ray III tidak lama lagi.

Melihat kepada canggihnya teknologi pada waktu ini, ramai dalam kalangan pengikut sedia ada filem tersebut berhasrat untuk menyaksikan naskhah itu mempunyai peningkatan kualiti dengan standard Hollywood.

Atau sekurang-kurangnya ia mampu memberi keterujaan bak menonton seleksi filem hebat Star Wars.

“Tidak berani untuk saya samakan kualiti XX Ray III dengan filem-filem sci-fi hebat luar negara. Bagaimanapun, saya sedar tentulah akan ada perbandingan itu.

“Bukan tanggungjawab saya jika wujud perbandingan itu kerana saya cuma menghasilkan cerita yang dirasakan sesuai untuk diberikan kepada penonton.

“Terserah pada mereka tetapi jangan menilai sebaliknya saya mahu mereka menikmati pengisian yang diberikan ini,” katanya.

Menurut Aziz, andai kata filem XX Ray III tidak menjadi, dia akan melihatnya dari sudut positif yang mana dia sudah mencuba memberikan kelainan untuk penonton tempatan.

“Saya berada di sini kerana karya-karya yang pernah dihasilkan ada kelainannya dan ia tidak semestinya baharu. Biasalah, ada kalanya naskhah berbeza ini akan menjadi dan kadang kala tidak.

“Apa pun, dalam naskhah yang dihasilkan, pasti akan saya masukkan rencah tempatan supaya ia bersesuaian dengan masyarakat kita,” tambahnya.

Dalam pada itu, dia juga meletakkan wajah-wajah baharu sebagai pelakon utama filem XX Ray III sebagai elemen tambahan kelainan.

Jelasnya, penonton filem ini tidak diwajibkan menyaksikan karya XX Ray terdahulu untuk kefahaman jalan cerita kerana ia telah diolah dengan cara berbeza.

“Bagaimanapun, tetap ada elemen ‘easter egg’ dalam filem yang mana ia mungkin akan dapat dirungkai oleh pengikut terdahulu filem ini. Tetapi sekali lagi saya tekankan, ia bukan satu kemestian,” katanya.

Sebagai sebahagian daripada promosi filem terbaharunya ini, Aziz turut berbesar hati apabila salah seorang aktor utama XX Ray III, Adam John telah menghasilkan koleksi eksklusif mainan figura aksi.

Mengambil karektor Profesor Amir Hamzah lakonan Aziz dalam koleksi terbitan pertama, Adam bagi Aziz cukup komited bahawa mainan tersebut mampu mendapat sambutan ramai.

“Pada awalnya, ada rasa ragu-ragu apabila Adam beritahu dia mahu lancarkan koleksi figura ini kerana saya merasakan tiada siapa yang ingin membeli.

“Tetapi rupa-rupanya tidak sampai sebulan mainan yang dijual pada harga RM149.90 seunit itu sudah habis terjual dan Adam bersama pasukannya sedang berusaha menghasilkan siri kedua pula,” katanya.

Dalam pada itu, menurut Adam, pihaknya berani untuk menghasilkan mainan figura aksi ini kerana yakin dalam kalangan kelompok pengumpul mainan eksklusif ia mendapat permintaan tinggi.

Ia merupakan koleksi yang sangat terhad dan cuma ada 200 unit sahaja. Alhamdulillah produk mainan figura aksi yang dihasilkan oleh anak tempatan ini sangat laris.

“Selepas ini kami akan fikirkan karektor XX Ray yang mana pula untuk dijadikan mainan figura aksi,” katanya.

Selain Aziz dan Adam, XX Ray III yang akan ditayangkan di pawagam bermula 24 Januari ini turut membariskan pelakon Izzue Islam, Nonny Nadirah, Saiful Apek, Datuk Jalaluddin Hassan dan Datuk Rahim Razali.