Menurut Awie, 49, kali terakhir dia mengambil bahagian dalam persembah tersebut adalah sewaktu di bangku sekolah.

“Saya teruja dan pada masa sama gemuruh nak berdikir barat di hadapan orang Kelantan.

“Kali terakhir saya sertai persembahan begini ialah semasa di sekolah. Selama bergelar penyanyi, memang saya tak pernah berdikir barat,” katanya ketika dihubungi Utusan Online.

Persembahan itu merupakan sebahagian daripada aktiviti yang dianjurkan oleh Festival Kuda Merah Muay Thai dan Bike dengan kerjasama Wings Motor Gang Sporty pada 3 Ogos hingga 5 Ogos depan.

Dalam pada itu, Awie yang juga presiden kelab Wings Motor Gang Sporty mempelawa semua kelab motosikal di negara ini untuk sama-sama menyertai festival terbabit.

Jelas Awie, penyertaan itu tidak tertumpu kepada motorsikal berkuasa tinggi malah yang berspesifikasi rendah turut dialu-alukan.

“Program ini tak kira kasta. Bukan hanya motorsikal berkuasa tinggi sahaja boleh sertai tetapi kami buka kepada semua jenis motorsikal yang ada kat Malaysia untuk datang. Asalkan beroda dua.

“Selain dikir barat akan ada juga aktiviti muay thai yang akan menjadi tarikan utama dalam penganjuran ini.

“Wings juga akan bersama-sama peminat pada 4 Ogos itu nanti. Kami akan beramah-mesra serta busking.

“Kami sudah berbincang dengan pihak penganjur untuk adakan konvoi bersama-sama malah pihak mereka juga sudah melihat tempat bersejarah di sekitar Bachok untuk dilawati,” katanya.

Tiket dijual pada harga berbeza mengikut pakej iaitu RM150 untuk pakej A dan RM 65 bagi pakej B.

Sebarang maklumat lanjut boleh hubungi nombor tertera 014 298 5051. - UTUSAN ONLINE