WENDY WONG mahu mengetengahkan bakat tempat ke negara China menerusi program I Am a Singer.

Menerusi syarikat Produksi 2020, kata Wendy, mana-mana peserta yang terpilih akan diberi peluang untuk menyanyi dalam program realiti I Am a Singer di China.

“Syarikat kami berkolaborasi dengan syarikat artis HK di sana yang mencari bakat-bakat baharu untuk diketengahkan sebagai penghibur. Saya tahu di Malaysia terdapat ramai bakat baharu dan bagi yang mahu menjadikan impian mereka sebagai realiti, syarikat kami boleh membantu.

“Untuk permulaan, kami mencari 10 peserta yang berbakat dan berpenampilan menarik. Tidak terikat pada satu bangsa, sesiapa yang rasa dirinya berbakat dan ingin mencabar diri, sila sertai kerana peluang sebegini tidak ada selalu,” katanya kepada Utusan Online.

Tambahnya, dengan menyertai pertandingan tersebut, peserta bukan sahaja dapat mengetengahkan bakat mereka, malah dapat mewakili negara.

“Pada yang berminat boleh menghantar profil kepada saya. Selepas menerima penyertaan daripada orang ramai, pihak saya akan membuat saringan sebelum memanggil penerbit dari Hong Kong dan China untuk memilih senarai akhir.

“Peserta yang terpilih akan dibawa ke Hong Kong terlebih dahulu bagi mengikuti latihan sebelum menyertai pertandingan sebenar yang dijangka bermula awal tahun hadapan,” katanya.

Menurut Wendy, peserta yang terpilih bakal mendapat tajaan penuh daripada syarikat penerbitan Hong Kong yang juga rakan kongsinya.

Sementara itu, penyertaan boleh dihantar menerusi e-mel [email protected] dan tarikh pertandingan di China akan diadakan pada Disember 2017.- UTUSAN ONLINE