Namun sebenarnya, bagi pelakon, Wan Sharmila, watak pembantu diletakkan di sudut penting bagi memantapkan sesebuah drama atau filem. Tiada watak pembantu, jalan cerita sesebuah naskhah itu mungkin sukar untuk diterjemah.

Biarpun ada pihak yang memandang sinis kenyataannya kerana pelakon cantik ini sering mendapat watak pembantu, Wan Sharmila atau lebih senang dipanggil Lala punya alasan sendiri.

Bukan tidak mendambakan watak utama atau pasrah dengan pemikiran skeptikal peminat drama Melayu, dia mencuba untuk memercik warna sendiri menerusi watak-watak yang diterima.

“Saya masih ingat kata-kata pelakon senior, Fatimah Abu Bakar. Baginya, watak pembantu itu sebenarnya lebih penting kerana mereka menjadi akar sokongan kepada sesebuah drama atau filem.

“Memang saya selalu dapat watak pembantu tetapi saya tidak kisah sama sekali. Mungkin saya sudah ditakdirkan menjadi pelakon pembantu, itu bukan satu masalah yang perlu saya fikirkan.

“Cuma setiap watak yang diterima, saya akan terjemahkan mengikut acuan saya. Itu yang menjadi kayu pengukur. Bukan watak utama atau tidak. Peminat sekarang lebih terbuka,” jelas pelakon berusia 36 tahun ini.

Ditanya apakah kekangan untuknya tampil sebagai pelakon utama bagi sesebuah drama, Wan Sharmila hanya tersenyum manja. Bukan dia yang harus menjawab soalan itu tetapi pihak yang memilih pelakon, katanya.

Menolak kebanjiran pelakon baharu menyebabkan peluang untuk bergelar pelakon utama semakin sempit, Wan Sharmila menganggap persaingan sihat antara mereka bukan sesuatu yang harus dicemburui.

“Jangan salahkan mereka (pelakon baharu). Zaman sudah berubah. Kalau dahulu saya pelakon utama, sekarang sudah beralih menjadi pembantu pula. Itu asam garam dunia seni.

“Tapi kalau hendak cakap fasal pelakon baharu, secara jujur keadaan yang sedang berlaku dalam industri sangat tidak sihat. Bukan saya mahu menidakkan bakat mereka cuma ada segelintir hanya berlakon ala kadar.

“Sekarang uji bakat bukan lagi tengok bakat tetapi tengok berapa pengikut dalam laman sosial dan rupa paras menjadi kayu pengukur. Namun itu adalah kehendak industri kita sendiri,” katanya yang popular dengan drama Tari Tirana.

Takut dikecam dek watak jahat

Kembali memegang watak jahat setelah sekian lama, Wan Sharmila mengakui, dirinya sedikit gementar dengan penerimaan peminat khususnya kecaman dan serangan kata-kata nista dalam laman sosial.

“Sekarang peminat lebih ekstrem. Kalau dulu, paling teruk mereka akan jeling macam marah sangat dekat kita bila berjumpa di luar set. Tetapi sekarang, mental kena kuat.

“Bukan saya trauma atau takut dikecam cuma kena lebih bersedia. Saya sedikit kecewa apabila ada peminat yang tidak tahu membezakan antara lakonan dan realiti. Mungkin geram sangat kot.

“Orang selalu cakap, kalau peminat marah maknanya lakonan kita berkesan. Sejujurnya, saya tidak fikir langsung soal berkesan atau tidak lakonan itu. Saya mahu peminat lebih terbuka.

“Kadang-kadang ada peminat yang terbawa-bawa emosi mereka. Tak apalah, saya okey sahaja. Nak buat macam mana, watak pembantu kebanyakannya watak jahat,” seloroh pelakon drama Semerah Cinta Umairah ini.

Bakal terlibat dalam drama Abang Lori Ohsem musim kedua, Wan Sharmila sebenarnya tidak menyangka drama tersebut berjaya mencuri hati khalayak. Ternyata lakonannya dengan Ungku Hariz berkesan.

“Tak sangka sebenarnya drama Abang Lori Ohsem disambung ke musim kedua. Mungkin genre komedi yang diketengahkan berjaya menambat hati peminat. Insya-Allah, hujung tahun ini kami akan memulakan penggambaran.

“Sekarang saya sibuk dengan pengambaran drama Semerah Cinta Humairah dengan Janna Nick dan Fahrin Ahmad. Ya, watak jahat lagi (gelak) tapi saya cuba guna pengalaman untuk warnakan karakter itu,” katanya.