Malah dia mengakui, tidak mengambil masa yang panjang untuk memberi persetujuan melakonkan watak Siti kepada penerbit A. Aida Productions, Datuk A. Aida.

Pun begitu, bukan satu tugas mudah buat Nadia menggalas tanggungjawab kerana watak Siti yang dipegang menguji ketangkasan Nadia dalam seni silat selain babak yang memerlukan pelakon drama Aku Balqis itu bergelut dengan ular sawa.

“Watak Siti dalam filem ini menuntut saya banyak bersilat. Justeru saya perlu berikan sepenuh perhatian dengan apa yang diajar oleh tenaga pengajar persilatan supaya tidak nampak janggal pada skrin.

“Saya mula belajar silat dua minggu sebelum masuk set penggambaran. Setiap hari memang ada latihan persilatan yang diadakan pada sebelah pagi dan malam.

Alhamdulillah sepanjang latihan diadakan saya tidak mengalami sebarang kecederaan cuma sakit-sakit badan sahaja,” katanya.

Nadia juga memberitahu, watak Siti bukan sahaja memerlukannya beraksi silat tetapi juga memakai 80 pasang pakaian berbeza yang melibatkan 106 babak yang berlatarkan lokasi di Kota Tinggi, Johor.

“Saya dapat bayangkan ini sesuatu yang memenatkan lebih-lebih lagi penggambaran dilakukan di dalam hutan. Tapi tidak mengapa kerana ini merupakan satu naskhah yang memang saya nanti-nantikan sejak tiga tahun bergelar pelakon,” ungkapnya.

Yakin mampu membawakan watak Siti yang merupakan kisah legenda yang pernah wujud di negeri selatan tanah air dengan caranya sendiri, Nadia mengakui, filem arahan Bade Azmi itu mencabar kredibilitinya sebagai pelakon.

“Saya pernah berlakon dalam beberapa filem sebelum ini tetapi baru kali ini saya diberikan peranan utama. Sudah pasti apabila ditawarkan untuk berlakon dalam filem Ratu Kala Jengking: Puteri Keranda serta diberitahu memegang watak utama, tiada alasan untuk saya menolaknya.

“Tidak dinafikan watak Siti ini mencabar kredibiliti saya namun saya yakin mampu merealisasikan watak itu sebaik-baiknya kerana kalau saya tidak yakin, sudah lama saya tolak.

“Apa pun, plot penceritaan filem ini sangat menarik dan pernah menjadi sebuah kisah legenda, sudah tentulah saya tidak sabar untuk memberikan hasil yang terbaik,” ulasnya yang berharap kesihatannya tidak terganggu sepanjang 35 hari penggambaran.

Mahu rasa dihargai

DALAM pada itu, Nadia atau Nadia Najwa Mohamed Rashidi, 27, berasa bangga kerana dapat berlakon bawah pengarahan Bade Azmi yang dianggap sebagai genius dalam bidang pengarahan.

Malah aktres ini juga berharap agar penglibatannya dalam produksi ini bakal membuka mata khalayak dan industri serta memberikan lebih banyak peluang lakonan kepadanya selepas ini.

Kata Nadia, filem yang digarap sepenuhnya oleh A. Aida itu akan menjadi penanda aras dalam profil kerjaya seninya.

“Saya rasa bukan saya seorang sahaja yang mengharapkan setiap hasil lakonan mereka dihargai, begitu juga dengan saya. Bukan trofi kemenangan yang saya idamkan semata-mata.

“Sebaliknya saya lebih senang sekiranya khalayak dan industri menghargai hasil kerja dan bakat lakonan saya.

“Malah saya yakin menerusi filem arahan Bade Azmi ini akan mampu melonjakkan nama saya, sekali gus membuka lebih banyak peluang seni lakon layar selepas ini,” katanya.

Selain Nadia, filem Ratu Kala Jengking: Puteri Keranda turut dijayakan 36 orang pelakon itu dijangka akan memasuki pawagam pada penggal pertama tahun 2019.

Ratu Kala Jengking: Puteri Keranda mengisahkan tentang seorang wanita bernama Siti yang memiliki ilmu hitam dan perlu membunuh pasangannya untuk terus kelihatan muda dan jelita.