Walaupun nasib tidak menyebelahi penyanyi berusia 18 itu untuk mara pada peringkat lebih tinggi, bagi Wani dia tidak melihat penyingkiran sebagai lambang kekalahan dalam kariernya.

Kongsi Wani, tidak sekadar mahu pendedahan yang lebih meluas di Indonesia, dalam masa sama DAA4 juga turut menyuntik semangatnya untuk muncul dengan sebuah single dangdut tidak lama lagi.

“Kalau kata kecewa sebab tersingkir, rasanya tidak. Sebab saya sendiri tidak sangka akan meneruskan cabaran dalam program itu hampir dua bulan.

 

“Paling penting, dalam tempoh itu saya tidak sekadar bertanding tetapi turut menimba ilmu dengan mereka yang mempunyai lebih banyak pengetahuan mengenai ilmu dangdut,” katanya ketika dihubungi Hits.

Tahu harapan tinggi yang diletakkan peminat sepanjang berada dalam program realiti itu, kata Wanie, tidak perlu dia rasa bersalah kerana yakin sudah memberikan yang terbaik sepanjang berada dalam DAA4.

“Saya tidak perlu rasa bersalah sebab saya sudah memberikan yang terbaik dalam program itu. Saya yakin peminat juga tahu kemampuan saya. Bila sampai situ sahaja rezeki yang diberikan, rasanya semua harus reda.

“Bukan soal kalah atau menang, tetapi pengalaman yang saya dapat jauh lebih bernilai sebenarnya. Bagaimanapun saya tetap mahu berterima kasih kepada peminat yang selama ini banyak memberikan sokongan,” katanya.

Menurut Wani atau nama sebenarnya Syazwani Abdullah, walaupun tidak berjaya meneruskan saingan, namun dia akan tetap memberikan sokongan buat rakan peserta lain.

“Bukan mudah sebenarnya, selepas hampir dua bulan tentunya antara rutin yang saya akan rindui antaranya hubungan baik antara rakan peserta lain yang datang dari negara berbeza.

“Saya harap peminat juga akan meneruskan sokongan ke atas program ini terutama buat peserta dari Malaysia,” katanya.

Penyingkiran dalam DAA4 tidak memusnahkan harapannya untuk terus dikenali di Indonesia. Tambah Wani, untuk 2019, dia sudah mempunyai perancangan yang lebih rapi.

“Ikutkan bukan mudah sebenarnya untuk menempatkan diri dalam pasaran Indonesia. Kita sendiri tahu hebatnya saingan di sana.

“Apa pun saya mahu mencuba nasib di Indonesia sebab sudah ada kenalan yang boleh membantu. Siapa sangka melalui usaha awal ini dapat memudahkan impian saya untuk melebarkan sayap di negara itu,” jelasnya.

Ditanya pandangannya mengenai irama dangdut selepas DAA4, ternyata irama itu sebenarnya sudah lama memikat hatinya.

“Saya memang suka irama dangdut sebelum DAA4 lagi. Cuma bila dalam pertandingan ini kita perlu bawa dangdut yang jauh lebih tradisional. Jujurnya bukan mudah sebab ini diakui penyanyi dangdut Indonesia sendiri.

“Sebab itu bila diberi peluang berkongsi pentas dengan mereka yang jauh berpengalaman saya sangat teruja,” kata Wanie.

Tidak menolak sudah bersedia untuk mengeluarkan single terbaharu tidak lama lagi, kata Wani, kali ini dia akan menjadikan dangdut sebagai genre pilihan.

“Antara rancangan ialah bekerjasama dengan komposer dari tanah seberang untuk sebuah lagu baharu. Selain itu ada lagu pop dan genre lain juga,” kata Wani.