WAN MAIMUNAH sedia mengajar tarian.

Wan Maimunah atau nama sebenarnya Wan Maimunah Abdul Aziz mahu berkongsi ilmu tarian yang dimiliki kepada generasi baharu.

“Sebelum aktif berlakon pada tahun 1972, saya merupakan seorang penari di Johor Bahru. Dah 20 tahun saya sudah tidak menari tapi setakat hari ini Alhamdulillah saya masih ingat semua langkah tarian.

“Kalau nak buka kelas sendiri, memang tak mampu. Tapi kalau ada undangan, saya tidak pernah meletakkan bayaran.

“Saya seronok kalau dapat mencurahkan ilmu kepada mereka yang nak belajar tentang tarian tradisional,” katanya kepada Utusan Online.

Menurut Wan Maimunah lagi, dia bersyukur meskipun tidak memiliki segulung sijil pengajian tinggi tetapi dia yang lebih dikenali sebagai dramatis air mata dianugerahkan bakat semula jadi.

“Saya tidak berduit malah ketika jadi penari dahulu, saya tak ada masuk kelas atau belajar. Bakat saya adalah anugerah dari Tuhan yang tidak ternilai. Bermula dari situlah karier lakonan saya bercambah.

“Saya tiada ilmu dari segi pelajaran tetapi aturan Tuhan itu indah. Dia beri nasib umatnya sama rata,” katanya dengan jujur. - UTUSAN ONLINE