Berpendapat bahawa wajah yang tampan dan elok menjadi faktor utama untuk kekal diterima, menurut anak kepada pasangan pelakon Hussein Abu Hassan dan Mahyon Ismail ini, asas lakonan boleh ditingkatkan sekiranya ada kesungguhan untuk mendalaminya.

“Saya berpendapat, untuk bergelar artis terutama pelakon setiap mereka perlu memiliki raut wajah yang cantik atau pun kacak, ia sejajar dengan apa yang diminta oleh pihak pengiklanan.

“Setiap drama mahupun filem yang disiarkan memerlukan pengiklan, jadi bagaimana mahu menarik iklan sekiranya pelakon-pelakon dalam drama itu sendiri tidak memiliki wajah yang sesuai untuk bergelar artis.

“Bakat pula boleh diasah, kalau dilihat pada lakonan awal saya dalam filem Gila-Gila Remaja, saya sendiri ‘kaku’ dan ‘kayu’ tapi lama-kelamaan lakonan menjadi bertambah baik,” jelas Faizal.

Selain itu, pelakon ini juga secara terang-terangan menolak untuk membawa watak lelaki separuh umur atau bapa yang sudah mempunyai anak besar kerana akan memperlihatkan dirinya sebagai seorang yang tua.

“Saya memang banyak menolak watak-watak sebegini. Pada saya watak lelaki yang sudah mempunyai anak yang besar akan menampakkan saya seperti sudah terlalu tua.

“Sekarang walaupun sudah berusia 51 tahun, saya masih ditawarkan watak sebagai hero filem dan drama. Maknanya kepercayaan penerbit terhadap saya masih tinggi.

“Jadi, saya mahu kekalkan kepercayaan dan momentum tersebut,” jelas Faizal yang turut berlakon dalam filem Bunohan dan Kalla.

Terbaharu, Faizal tampil dengan siri drama terbaharu menerusi siaran televisyen sesawang terbitan Viu berjudul Devoted.

Menurutnya, dia tertarik membintangi siri sesawang 10 episod itu kerana mahu merasai cara kerja berbeza.

“Siri sesawang ini berbeza kerana ada sekumpulan pengarah yang terdiri daripada seorang ketua dan dibantu tiga sutradara yang lain.

“Jadi, percambahan idea mereka lebih pelbagai.

“Disebabkan itu saya nampak naskhah ini berbeza daripada apa yang saya pernah saya lakukakn sebelum ini,” katanya.

Drama itu turut dibintangi beberapa pelakon hebat antaranya Aqasha, Wan Raja, Iman Corrine, Sharnaaz dan Gen Darwish.