Menyedari pelakon berdarah campuran yang lain sebelum ini juga berusaha gigih untuk menempatkan diri mereka dalam industri, justeru tiada istilah kejayaan bagi seseorang selebriti yang hanya bersandarkan rupa dan bukannya bakat.

“Sejujurnya saya sedar ramai selebriti yang mempunyai wajah campuran mempunyai peluang yang lebih sedikit berbanding yang lain. Fenomena ini bukan perkara baharu dalam industri kerana sejak dulu lagi ramai pelakon berdarah campuran diberi ruang serta peluang yang mudah.

Anna Jobling

“Mungkin disebabkan mereka mudah diberi peluang, jadi ‘tempias’ itu tetap terkena kepada artis-artis baharu seperti saya. Iya, perkara ini sesuatu yang positif buat saya yang memang meminati bidang ini. Saya juga bersyukur dan berterima kasih kepada mereka yang sudi memberi peluang untuk mengembangkan bakat yang ada.

“Tidak dinafikan, walaupun saya bukanlah calon kegemaran dalam satu pertandingan baru-baru ini, namun saya diberi perhatian yang lebih oleh orang dalam industri selepas tamat program tersebut.

“Apa pun saya tidak mahu menganggap kelebihan ini sebagai ‘lesen’ untuk saya berasa selesa dan tidak berusaha gigih. Saya tidak mahu dikatakan hanya mahu ‘menjual’ rupa sedangkan bakat belum tahu sampai tahap mana.

“Dalam masa yang sama lebih ramai lagi sebenarnya berbakat berbanding saya,” kata Anna.

Justeru, Anna tidak mahu terus ‘bermimpi’ dengan gelaran wanita cantik Pan-Asia sebaliknya tetap mahu berusaha serta belajar dari bawah. Dia mahu mencontohi ramai pelakon campuran yang terdahulu seperti Maya Karin, Sofea Jane, Julia Rais dan ramai lagi.

“Mereka berjaya dan menampilkan kualiti dalam kerjaya disebabkan usaha gigih menimba ilmu serta pengalaman, bukan kerana rupa semata-mata,” kata Anna Jobling yang melihat dirinya seperti Maya Karin yang kurang fasih berbahasa Melayu pada awal kemunculan sebagai pelakon.

Bagi Anna, Maya mempunyai sikap juang yang tinggi dalam menampilkan bakat dan penampilan berjalan seiring.

“Saya akui kurang fasih bercakap dalam Bahasa Melayu. Saya teringat dengan situasi yang pernah dialami oleh Maya Karin dahulu. Begitu juga dengan bakat lakonan, Maya sangat menitikberatkan kualiti dan hasilnya kini beliau sudah layak digelar primadona. Hebat bukan?

“Setahu saya, beliau pernah dikritik teruk kerana kelemahannya dulu. Lihat sekarang, beliau berusaha gigih untuk berjaya bukan sekadar mengharapkan rupa. Saya bercita-cita mahu berjaya sepertinya,” kata Anna Jobling yang bergelar model dan berlakon iklan komersil sejak berumur 15 tahun.

Pelakon ini mempunyai kebolehan dalam pelbagai bidang, antaranya bermain piano, saksofon dan berenang dan telah muncul menerusi beberapa telefilem dan bakal menjadi hos untuk program televisyen tidak lama lagi.

Sedia hadapi kontroversi

Kata orang, kalau takut dilambung ombak, jangan rumah di tepi pantai. Lebih-lebih lagi apabila menjadi artis pasti banyak cabarannya.

Untuk itu, Anna banyak belajar daripada kontroversi yang pernah melanda rakan baiknya Haneesya Hanee yang terpaksa melepaskan gelaran juara pertandingan bakat baharu sebelum ini.

“Walaupun isu ini sudah lama berlalu, ia masih memberi kesan kepada orang-orang yang dekat dengannya termasuk saya. Kesan yang dimaksudkan ialah pengajaran yang dipelajari daripada isu tersebut.

Anna Jobling

“Di awal kontroversi ini menjadi perbualan, ramai yang mengaitkan saya kononnya orang yang bertangggungjawab di atas apa yang terjadi, Berani kerana benar. Saya tak kisah apa orang cakap kerana saya tidak melakukan perbuatan tersebut.

“Sebagai kawan baik, saya ada nasihatkan dia agar jangan berputus asa dan percayalah pasti ada rezeki di luar sana. Saya tahu dia kuat dan boleh pergi jauh dalam apa yang dilakukannya.

“Apa yang berlaku kepadanya cukup membuatkan saya belajar untuk lebih berhati-hati dalam berkawan kerana kita tidak tahu apa yang ada dalam hati orang. Di hadapan baik, di belakang kita belum tentu.

“Kita tidak tahu siapa yang membenci kita dalam diam. Cukup-cukuplah kita selalu dengar kisah ‘kawan makan kawan’.

“Sikap kejam ‘tikam belakang’ pun sering berlaku. Semua itu di luar kawalan kita. Jadi, kontroversi itu membuatkan saya lebih bersedia untuk menempuhi dugaan yang bakal dihadapi kelak,” kata Anna dengan tegas.

Bagi Anna, suasana atau konflik dalam industri ini sukar diramal. Justeru lebih baik ambil langkah berhati- hati dengan semua orang sekeliling dan jangan terlalu mudah mempercayai orang lain.

“Orang kita selalu membuat andaian berdasarkan logik dan kelaziman pengalaman mereka, namun harus diingat setiap orang lain ragam dan cara. Jadi jangan cepat menghukum kerana itu boleh menyebabkan berlakunya fitnah.

“Apa-apa pun, walaupun saya cakap sudah bersedia berhadapan dengan kontroversi, ia tidak semudah yang diperkatakan. Andai insiden yang tidak diingini berlaku kepada saya, doakanlah agar saya tidak cepat melatah dan tidak terpesong jauh dari ajaran agama. Dalam hal ini, ibulah orang yang paling penting untuk menenangkan saya,” katanya.

Dia suka mengambil pendekatan berbincang bersama keluarga dan pihak pengurusan sebelum membuat apa-apa keputusan. Anna tidak mahu membuat keputusan sendiri kerana risau tindakan yang diambil hanya mengikut hati dan bukannya akal.

Makan sayur kerana kucing

Mungkin ramai yang tidak tahu, Anna Jobling sebenarnya seorang yang sangat menyayangi haiwan. Kerana itu, Anna tidak sanggup makan daging kerana rasa belas dan kasihannya kepada makhluk tersebut.

“Masa kecil dulu, mak dan ayah selalu bawa saya berkunjung ke zoo dalam dan luar negara. Antara pengalaman yang tidak dapat saya lupakan ialah melawat Zoo Safari di Afrika Selatan. Di sana saya boleh lihat pelbagai haiwan liar di hadapan mata.

“Melihatkan haiwan-haiwan tersebut, hati saya selalu berkata kasihannya kalau mereka menjadi buruan atau dimakan oleh manusia. Begitu juga saya adalah pencinta kucing. Jadi, disebabkan sikap menyayangi haiwan telah menjadikan saya seorang yang hanya makan sayur-sayuran atau vegetarian.

“Saya tidak makan langsung apa sahaja yang berunsurkan daging atau ayam. Saya tidak sanggup untuk makan apabila membayangkan haiwan-haiwan ini. Tambahan pula, banyak daging yang boleh mengakibatkan penyakit kerana pernah disuntik hormon,” katanya.

Justeru kata Anna, menu sehariannya ialah nasi dan sayur-sayuran serta pengambilan protein melalui taufu dan tempe.

Kutip 14 ekor kucing jalanan

Apa yang menarik, Anna Jobling kini ‘bercinta’ dengan 14 ekor kucing jalanan yang dikutipnya.

“Kucing-kucing terbiar yang saya kutip ini kebanyakannya dibuang dan kelaparan di jalanan. Ada juga yang lumpuh akibat kemalangan tetapi saya kutip dan jaga sehingga sihat.

“Saya pernah nampak seekor kucing terbiar di lebuh raya. Saya dengan serta-merta minta ibu berhentikan kereta kerana mahu menyelamatkan kucing tersebut daripada dilanggar. Ketika itu saya sudah tidak kisah apa orang nak cakap kerana berhenti di lebuh raya. Apa yang penting kucing itu selamat.

“Saya tidak memilih hanya kucing cantik untuk dipelihara. Bagi saya semua kucing itu cantik, sebab itu saya kutip sahaja kucing jalanan.

“Malah saya sudah anggap mereka seperti anak sendiri. Pelihara kucing ini mendidik saya untuk menjadi lebih penyayang dan menghargai apa yang kita ada,” jelasnya yang memelihara kesemua kucing itu di dalam rumahnya sendiri.