Pun begitu, MUH menggunakan pendekatan dengan memperkenalkan vokalis jemputan untuk karya-karya seterusnya seperti Black Hanafiah ketika menghasilkan single Drama King. Selain itu, Hazama Azmi juga pernah diundang untuk menjayakan lagu Pokok.

Kini, setelah hampir tujuh tahun, misi MUH mencari vokalis tetap tiada penghujungnya. Namun, Shahan Shah, 31, finalis Akademi Fantasia musim kelapan (AF8) yang pernah beberapa kali mengadakan persembahan bersama kumpulan itu kekal selaku vokalis sementara mereka.

Bertemu dengan penyanyi yang mesra disapa sebagai Shah itu, katanya dia rasa bertuah mendapat peluang tersebut walaupun berstatus sementara.

“Ini kerana, platform yang diberikan kumpulan tersebut, terutama oleh ketua kumpulannya, Taja amat bermakna buat saya. Siapa sahaja yang tidak mahu menjadi vokalis kepada band ternama seperti MUH?

“Pasti ia satu peluang yang tidak akan dilepaskan. Maklumlah, saya bukan siapa-siapa dalam bidang ini. Ketika ditawarkan, saya masih terlalu mentah, apatah lagi baru sahaja keluar daripada program AF8.

“Status sementara itu tiada masalah bagi saya. Peluang yang diberikan ini sahaja sudah besar maknanya dan siapa saya untuk meminta lebih daripada itu. Jika bukan kerana MUH, mungkin peluang saya untuk terus bertapak dalam industri ini agak nipis.

“Maklumlah, peminat dan pendengar muzik di negara ini masih meletakkan paras rupa di tangga teratas, bukannya kualiti vokal atau bakat,” kata Shah yang pernah tampil menerusi single Dejavu bersama MUH.

Setelah beberapa tahun bersama MUH, Shah menyifatkan detik-detik tersebut sebagai tempoh pembelajaran untuk terus melayari kehidupan dunia artis.

“Taja menjadi mentor kepada saya untuk bergelar penyanyi. Pelbagai pengalaman dikongsikan untuk mencuba nasib dalam bidang ini. Dia juga memberi dorongan untuk saya bergerak selaku penyanyi solo.

“Untuk single solo saya, Maafkanku Mia yang saya sendiri cipta lagu dan liriknya, Taja memainkan peranan penting sebagai individu yang bertanggungjawab menyusun atur melodi dan muziknya.

“Dia dan anggota MUH lain menyokong perkembangan karier saya untuk bergerak solo. Bagaimanapun, saya masih kekal bersama MUH jika mereka ada undangan untuk menjayakan persembahan,” jelasnya.

Menurut Shah, dia positif untuk menempatkan dirinya ke dalam industri muzik tempatan apabila adanya sokongan kuat individu berpengaruh seperti Taja. Ujarnya, keazaman yang kuat amat diperlukan agar terus maju ke hadapan.

Jika berada dalam situasi yang negatif, Shah sentiasa berfikiran positif untuk membina karier solonya dengan lebih berkesan.